Elaun sara hidup pelajar Mara dinaikkan, umum PM

Elaun sara hidup pelajar Mara dinaikkan, umum PM

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, pengumuman itu selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk peningkatan kos sara hidup serta kekangan kewangan ibu bapa pelajar khususnya kumpulan B40.

Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan ESH itu berkuat kuasa serta merta, melibatkan 62,998 pelajar tajaan Mara di dalam dan luar negara. (Gambar Bernama)
BANGI:
Perdana Menteri hari ini mengumumkan Elaun Sara Hidup (ESH) bagi 62,998 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di dalam dan luar negara dinaikkan, berkuat kuasa serta-merta.

Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan itu susulan reaksi pelajar selain mengambil kira pelbagai aspek, termasuk peningkatan kos sara hidup serta kekangan kewangan ibu bapa pelajar, khususnya kumpulan B40.

“Kadar Elaun Sara Hidup pelajar sedia ada dan baharu bagi yang mengikuti pengajian dalam negara akan diseragamkan kepada satu kadar sahaja mengikut peringkat pengajian.

“Untuk bidang pengajian bermula peringkat Diploma sehingga Doktor Falsafah akan dinaikkan kepada satu kadar sahaja, iaitu pada kadar minimum RM650 sebulan sehingga maksima RM950 sebulan,” katanya pada Program Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia bersama 3,000 pelajar Institusi Pendidikan Mara (IPMA) di German Malaysian Institute.

Hadir sama di majlis itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid.

Selain itu, Ismail berkata, kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu bagi yang mengikuti pengajian luar di semua negara diseragamkan kepada dua kadar sahaja, iaitu kadar A dan B.

“Kadar ini dinaikkan kepada kadar minimum RM1,380 sebulan sehingga maksima RM7,600 sebulan, bermula daripada peringkat pengajian Sarjana Muda sehingga peringkat Doktor Falsafah,” katanya.

Kadar ESH pelajar dalam negara sebelum ini adalah berdasarkan Kadar A bagi kawasan bandar besar dan Kadar B bagi kawasan luar bandar, iaitu minimum RM535 hingga maksimum RM885 sebulan daripada peringkat Diploma hingga Doktor Falsafah.

Elaun bagi pelajar luar negara pula diseragamkan kepada Kadar A dan B sahaja, termasuk pelajar di Amerika Syarikat, yang mana Kadar C dimansuhkan.

Sebelum ini, kadar ESH pelajar luar negara adalah antara RM1,200 hingga RM5,712 sebulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.