
Sanusi berkata, kuasa dicadangkan itu adalah satu bentuk campur tangan dalam hak Kedah ke atas perkara tanah, terutama hutan.
Idea mewujudkan pihak berkuasa air wilayah bagi lembangan sungai Ulu Muda dicetuskan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy.
Beliau berkata, ia boleh memulihara, mengurus dan melindungi lembangan sungai, yang menyediakan air untuk 4.2 juta penduduk di Kedah (96% daripada bekalan airnya), Pulau Pinang (80%) dan Perlis (70%).
Sanusi berkata, Pulau Pinang tidak seharusnya membuat tuntutan dengan mengharapkan orang lain mengorbankan sumber mereka dan kehilangan hasil.
“Tiada sesiapa pun berhak campur tangan dalam kedaulatan negeri lain, terutama hal ehwal wilayah, apatah lagi hal ehwal negeri. Ini adalah perkara asas dalam politik moden.
“Tanah, sumber air, lembangan sungai, ruang udara, galian, hutan, sungai segala-galanya di Kedah adalah milik negeri. Kami rakyat Kedah akan menjaga kedaulatan kami sehingga ke akhirnya walau apa pun harganya,” katanya kepada FMT.
Sanusi berkata, Perjanjian Malaysia 1963 menyatakan perkara berkaitan tanah adalah bawah bidang kuasa negeri.
Ketika ditanya sama ada Kedah perlu akur demi kepentingan rakyat di wilayah utara, Sanusi berkata mereka yang memintanya, terutama dari Pulau Pinang, tidak seharusnya melatah dan mengharapkan orang lain mengorbankan diri tanpa sebarang balasan.
Beliau berkata 1,100 juta liter air Sungai Muda disalurkan ke Pulau Pinang berbanding hanya 800 juta liter ke Kedah.
“Namun, mereka enggan membayar walau satu sen untuk air yang mereka gunakan.
“Jangan hanya bertindak bijak dengan menuntut pengorbanan daripada orang lain dan mengaut keuntungan daripada pengorbanan seseorang,” katanya.
Katanya, Kedah telah mengorbankan hasil untuk memelihara Ulu Muda, yang seterusnya digunakan untuk mengairi sawah yang menghasilkan 43% beras untuk kegunaan tempatan.
Menteri besar itu sebelum ini menuntut sejumlah RM100 juta setahun untuk penjagaan hutan Ulu Muda, selepas Pulau Pinang membuat tuntutan berulang kali supaya hutan itu tidak ditebang.