
“Baginda ialah tokoh ulung dan sangat berdedikasi sepanjang pemerintahan baginda kepada rakyat UK dan Komanwel,” kata Menteri Luar, Saifuddin Abdullah di Facebook.
Istana Buckingham pada Khamis mengumumkan baginda mangkat di Balmoral pada usia 96 tahun.
Baginda mempunyai masalah kesihatan sejak 12 bulan lalu atas faktor usia dan terpaksa membatalkan untuk menghadiri acara rasmi atas nasihat doktor, menurut Bernama.
Kali terakhir baginda menghadiri acara rasmi ialah semasa sambutan Jubli Platinum pemerintahan baginda ke-70 Jun lalu.
Putera sulong baginda, Charles, 73, dinaikkan takhta sebagai raja baharu yang dikenali sebagai Raja Charles III.
Terdahulu pada tengah hari Khamis satu kenyataan dikeluarkan yang menyatakan Ratu Elizabeth II berada di bawah “penyeliaan perubatan” di Balmoral, Aberdeenshire, Scotland.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay dalam kenyataan berkata pihaknya akan menyediakan sebuah buku fizikal ucapan takziah kepada orang ramai yang mahu memberikan penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II.
Katanya, buku fizikal itu akan diletakkan pejabat kedutaan di Menara Binjai 2, Jalan Binjai, Kuala Lumpur bermula 12 hingga 15 Sept antara jam 8 pagi hingga 4.30 petang.
“Buku digital kini tersedia di pautan www.royal.uk kepada mana-mana individu yang ingin memberikan penghormatan terakhir sementara buku fizikal ucapan takziah dibuka kepada orang awam bermula minggu depan.
“Bendera kami diletakkan separuh tiang sehingga majlis pengebumian yang akan berlangsung kira-kira 10 hari,” katanya.