
Katanya, hubungan Umno dengan parti itu ketika ini atas kapasiti sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri sahaja.
“Sebagai rakan dalam kerajaan negeri kita bekerjasamalah. Untuk pilihan raya kita pergi sendiri. Muktamad,” katanya menurut Kosmo.
Minggu lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan partinya membuat keputusan untuk bergerak solo, walaupun PAS mahu mempertahan Muafakat Nasional (MN).
Bagaimanapun Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, tindakan Zahid menolak kerjasama bersama parti itu dalam PRU15, tidak mewakili pendirian Umno secara keseluruhan.
Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ahmad Shabery Cheek, menyifatkan PAS tidak pernah serius untuk bersama parti itu, selain kekal memilih musuh, Bersatu, yang dianggap ditubuh untuk “membunuh” Umno.
Katanya, tindakan menamakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri dan secara terbuka menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri di Melaka dan Johor, merupakan “wayang” PAS untuk terus berunding bersama Umno.
Pada 4 Sept, ketika berucap dalam muktamar tahunan PAS, naib presidennya, Idris Ahmad, berkata parti itu kekal memilih untuk bekerjasama dengan Umno dan Bersatu.
“PAS selalu ditanya, PAS nak pilih mana, sama ada dengan Umno atau Bersatu? Tak..kami pilih dua-dua.
“Itu naratif kami, biar rakyat menilai, walaupun orang mencerca dan perli sekali pun, kita tetap menyatakan soal perpaduan ini penting,” katanya.