MyRC untuk pelarian? Negara lain tak akan terima, kata Ahli Parlimen

MyRC untuk pelarian? Negara lain tak akan terima, kata Ahli Parlimen

Ahli Parlimen dan aktivis hak pelarian menolak cadangan KDN untuk mengeluarkan Kad Pengenalan Khas (MyRC) untuk semua pelarian di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, MyRC akan menjadi dokumen rujukan kepada semua agensi penguatkuasaan dan bukan kad dikeluarkan oleh UNHCR.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang menolak keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk penggunaan Kad Pengenalan Khas (MyRC) kepada semua pelarian di Malaysia, dengan mendakwa negara lain tidak akan menerima kad itu.

Semalam, Menterinya, Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, ia akan menguatkuasakan penggunaan kad MyRC yang didaftarkan menerusi Sistem Pengesan Maklumat Pelarian (TRIS).

Menurut Berita Harian, kad itu akan menjadi dokumen rujukan kepada semua agensi penguatkuasaan dan bukan kad dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Hamzah juga dipetik sebagai berkata, Malaysia tidak perlu mengiktirafkan kad UNHCR memandangkan ia bukanlah negara yang menjadi anggota kepada konvensyen mengenai status pelarian 1951.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata UNHCR memberikan kad itu kepada pelarian selepas mereka menjalani proses yang panjang, yang dianggap penting oleh negara-negara yang akan menerima pelarian untuk ditempatkan semula.

“Mereka (negara penerima pelarian) mungkin tidak menerima kad Malaysia (MyRC). Jadi apa yang Malaysia akan lakukan mengenainya?” katanya kepada FMT.

Santiago turut mempersoalkan sama ada kerajaan Malaysia mempunyai cara untuk menguruskan sistem pendaftaran pelarian di bawah TRIS, yang telah diswastakan kepada sebuah syarikat, dan sama ada maklumat peribadi pelarian itu dimiliki oleh kerajaan atau syarikat yang menjalankan sistem itu.

Manakala aktivis hak asasi migran, Adrian Pereira dari Inisiatif Utara-Selatan (NSI) berkata, langkah kementerian tidak lebih daripada langkah ad hoc yang tidak menyelesaikan isu menguruskan pelarian dan pencari suaka di negara itu.

Katanya, ia juga akan membazir dana pembayar cukai kerana kerajaan perlu mengeluarkan wang untuk mengeluarkan MyRC kepada pelarian.

“Jika Malaysia benar-benar serius untuk menguruskan pelarian dan pencari suaka, ia sepatutnya mempunyai undang-undang untuk menangani komuniti ini dan tidak tergesa-gesa dalam penyelesaian ad hoc kerana pegawai kerajaan tidak dilatih dalam mengenal pasti pelarian dan menyaring pencari suaka,” katanya kepada FMT.

“Bagi saya, ia bertentangan dengan matlamat menguruskan seluruh situasi pelarian.”

Aktivis hak asasi pelarian dari Refuge for the Refugees, Heidy Quah berkata ia tidak masuk akal bagi Putrajaya yang berkeras untuk menggunakan MyRC dan bukannya kad UNHCR sebagai pengiktirafan rasmi pelarian di negara ini.

Mengulas komen Pereira, beliau berkata, tiada seorang pun pegawai kerajaan telah dilatih mengenai proses penentuan status pelarian, dan benar-benar dapat memahami nasib pelarian di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.