Kelantan paling rendah ikrar derma organ, kata exco

Kelantan paling rendah ikrar derma organ, kata exco

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata sejak 1997 hanya 12,946 orang berdaftar untuk menderma organ.

Penganut Islam di Kelantan dipercayai masih kurang jelas hukum menderma organ, kata Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin. (Gambar Facebook)
KOTA BHARU:
Hanya 12,946 rakyat Kelantan mendaftar sebagai penderma organ sejak 1997, sekali gus meletakkan negeri itu di kedudukan paling rendah dari segi jumlah pengikrar.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, berkata terdapat beberapa faktor menyebabkan kesedaran pendermaan organ dalam kalangan rakyat rendah seperti kurang pengetahuan dan bagi penganut Islam, mereka tidak begitu jelas dengan hukum ditetapkan.

“Jumlah pengikrar di Malaysia adalah sebanyak 515,530 orang sejak tahun 1997 dan di Kelantan seramai 12,946 orang telah mendaftar. Pendermaan organ di Malaysia, khususnya Kelantan, masih rendah.

“Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan dari segi hukum pendermaan organ ini dibolehkan maka kalau kesedaran timbul dalam kalangan rakyat, kita boleh berikan sinar dan peluang kepada mereka yang memerlukan untuk meneruskan kehidupan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kelantan.

Mengulas lanjut, Izani berkata kali terakhir pemindahan organ di Kelantan dilaksanakan ialah pada Ogos lalu, menjadikan tiga prosedur telah dilakukan di negeri itu, sejak 2006.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.