
Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil, berkata sasaran jelajah itu demi memperkukuh parti di peringkat negeri dan bahagian, terutama dalam kawasan seperti Gombak dan Ampang.
Fahmi berkata, jelajah pertama akan bermula di Gombak, pada Ahad, bermula 5 petang hingga tengah malam, di Bazar Ramadan Taman Melawati. Bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali, merupakan Ahli Parlimen Gombak.
“Kami akan menumpukan kawasan Parlimen (di mana Ahli Parlimen) mengkhianati parti. Ia (jelajah) dijadual diumum kemudian, tetapi kita akan bermula di Gombak pada Ahad,” katanya dalam sidang media.
Ahli Parlimen Lembah Pantai iti berkata, dijangka 3,000 orang akan hadir dalam jelajah, pada Ahad, sambil menyatakan mereka bukan sahaja terdiri daripada ahli PKR, malah membabitkan masyarakat awam.
Katanya, jelajah berkenaan akan diperluas ke semua negeri, sekali gus memberi peluang kepada memperkenal kepimpinan baharunya kepada pengundi, dalam persediaan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Katanya, Presiden PKR Anwar Ibrahim, timbalan presiden, Rafizi Ramli dan naib presiden akan menghadiri jelajah berkenaan.