
FMT mengupas apa itu “lemon law”, bagaimana ia terguna pakai dan sama ada pelaksanaannya berbaloi.
Apa itu ‘Lemon Law’?
Pada 1975, Amerika Syarikat (AS) menggubal Akta Waranti Magnuson-Moss, yang kemudiannya dikenali sebagai “Lemon Law” yang pertama, menurut Universiti Cornell.
Undang-undang itu dibuat berikutan protes daripada pihak yang terkesan dengan lopong pada waranti kenderaan mereka, membolehkan penjual menjual barangan yang rosak pada harga yang menguntungkan.
Istilah “lemon” lazim digunakan untuk menggambarkan kenderaan yang rosak, tetapi undang-undang ini boleh diguna pakai bagi mana-mana produk dengan jangka hayat lebih enam bulan, sama ada kereta mahupun peranti elektrik.
Baskaran Sithamparam, pengurus kanan di Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional, menjelaskan bahawa undang-undang itu mempertanggungjawabkan pengeluar untuk mengembalikan wang atau menggantikan produk yang rosak.
Bagaimana ‘Lemon Law’ berfungsi?
Peguam Edwin Tomas berkata, “Lemon Law” akan melindungi pengguna yang tidak mendapat penyelesaian daripada penjual apabila terbeli barangan yang rosak.
Penjual juga perlu melaksanakan kawalan kualiti (QC) yang ketat, dan mungkin menginsuranskan diri mereka terhadap risiko barangan rosak walaupun selepas QC yang ketat, kata Tomas.
“Secara keseluruhannya, ia merangsang ekonomi kerana pengguna mempunyai lebih keyakinan dan kepercayaan apabila membeli barangan sambil meletakkan penjual pada standard yang lebih tinggi,” katanya.
Melindungi pengguna
Memandangkan pengguna membeli kenderaan terpakai dengan kepercayaan penuh, Sithamparam berkata, tidak adil untuk membebankan mereka dengan kereta yang tidak berfungsi seperti yang dijanjikan.
Katanya, pengedar kereta terpakai kadangkala menjual kenderaan yang rosak kepada pembeli yang kurang pengetahuan mekanikal tentang kereta.
Dalam sesetengah kes, kereta terpakai secara palsu diiklankan sebagai berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding hakikatnya.
“Malah ada yang menipu pembeli dengan mendakwa kereta itu tidak pernah terlibat dalam kemalangan atau tiada masalah, tetapi apabila pembeli menerima kereta, ia didapati rosak,” katanya sambil menambah, pembeli sepatutnya mendapat nilai wang mereka.
Beliau berkata, masalah yang tidak didedahkan itu sering menyebabkan kenderaan perlu kerap dibaiki sehingga ia tidak dapat digunakan untuk jangka masa tertentu, dengan memakan kos tambahan.
Liabiliti
Sithamparam berkata, walaupun pengedar kereta terpakai bukan pengeluar, “Lemon Law” juga harus terpakai bagi mereka.
“Tidak kira sama ada mereka menjual pelbagai jenis kereta daripada pengeluar berbeza, menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan kereta itu bebas daripada sebarang masalah dan selamat digunakan.
“Jika kereta itu mempunyai sebarang masalah, mereka harus memaklumkan kepada pembeli, supaya pembeli boleh membuat keputusan yang tepat dan mengambil langkah yang perlu,” katanya.
Harga sesebuah kereta sepatutnya mencerminkan nilainya, tambah Sithamparam.
Sebaliknya, peguam Fahri Azzat berpendapat bahawa mempertanggungjawabkan pengedar kereta terpakai atas barangan yang rosak mungkin menjadi “kewajipan yang terlalu membebankan, dari segi kewangan dan teknikal”.
“Tidak adil untuk meletakkan beban ke atas pengedar kerana mereka hanya menjual kereta, bukan membuatnya. Lagipun, mereka tidak mempunyai kepakaran teknikal dan peralatan seperti pengeluar,” katanya.
Perkara ini dipersetujui Tomas yang berkata, mengguna pakai “Lemon Law” terhadap pengedar kereta terpakai “mungkin keterlaluan”, manakala mengenakannya terhadap pengeluar adalah sesuatu yang “mengikut undang-undang”.
Kereta terpakai lebih mahal?
Beliau berkata, penguatkuasaan “Lemon Law” ke atas pengedar kereta terpakai mungkin menyebabkan kenderaan terpakai dijual lebih mahal kerana dari sudut praktikalnya, QC yang lebih ketat memerlukan lebih banyak tenaga kerja dan masa.
“Dan untuk membetulkan atau membayar pampasan barangan yang rosak akan membawa kepada keuntungan lebih rendah, yang sering diimbangi dengan menaikkan harga barangan,” katanya.
Sithamparam tidak bersetuju dengan berkata, tidak adil untuk membebankan pengguna dengan harga yang lebih tinggi.
“Saya tidak nampak mengapa pengedar kereta terpakai mesti menaikkan harga. Mereka tidak boleh membebankan segala-galanya ke atas pengguna,” katanya.