Tiada keperluan kerajaan perkenal semula GST pada masa ini, kata timbalan menteri

Tiada keperluan kerajaan perkenal semula GST pada masa ini, kata timbalan menteri

Jun lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, memberi gambaran GST mungkin dihidupkan kembali memandangkan 175 negara di dunia sudah berjaya melaksanakan cukai itu.ber

Mohd Shahar Abdullah berkata, GST tidak diperlukan ketika ini kerana momentum pemulihan ekonomi kukuh, peningkatan permintaan dalam dan luar negara serta pemulihan pasaran buruh. (Gambar Bernama)
SIBU:
Kerajaan masih belum di peringkat yang perlu untuk memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), kata Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata, ini disebabkan oleh momentum pemulihan ekonomi yang kukuh dengan pertumbuhan 6.9% pada separuh pertama tahun ini dan disokong oleh peningkatan permintaan dari dalam dan luar negara serta pemulihan pasaran buruh.

“Sehubungan itu, kerajaan yakin ekonomi negara akan mencatat unjuran pertumbuhan antara 5.3% dan 6.3% bagi tahun 2022,” katanya.

Shahar berkata demikian bagi menjawab soalan sama ada kerajaan akan memperkenalkan semula GST semasa sesi libat urus Kementerian Kewangan dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Sarawak di sini hari ini.

Sesi libat urus itu diadakan sebagai salah satu usaha kementeriannya untuk mendapatkan input dan maklum balas daripada komuniti perniagaan untuk dipertimbangkan dalam penyediaan Bajet 2023.

Beliau berkata, bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara, fokus kerajaan dalam bajet akan datang adalah kepada inisiatif pembaharuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, terutamanya melalui peningkatan pendapatan dan perlindungan sosial, daya saing perniagaan dan rantaian nilai berkaitan, serta memperkukuh daya tahan negara terhadap kejutan di masa depan.

Beliau berkata, paras inflasi negara bagi enam bulan pertama 2022 ialah pada kadar 2.5%, jauh lebih rendah daripada kadar inflasi di negara lain, dan kekal terkawal berikutan pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi oleh kerajaan.

Katanya, langkah kerajaan untuk meneruskan dan menambah baik subsidi menyebabkan perbelanjaan untuk bantuan dan subsidi dianggarkan meningkat kepada RM77.7 bilion berbanding RM31 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet 2022.

“Tanpa subsidi yang disediakan untuk barangan asas, dianggarkan inflasi akan melonjak kepada 11.4%,” jelas beliau.

Pada Jun, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, berkata sembilan bulan diperlukan bagi GST untuk diaktifkan semula.

“Kita (Kementerian Kewangan) kena bawa dahulu ke mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan dan selepas itu ke Parlimen untuk beberapa proses dan ini dijangka memakan masa sembilan bulan,” katanya menurut Sinar Harian.

Zafrul memberi gambaran GST mungkin dihidupkan kembali dengan memberi alasan sejumlah 175 negara atau 90% negara di dunia sudah berjaya melaksanakan cukai itu.

“Mesti ada sebab kenapa mereka melaksanakan GST kerana negara yang tidak ada sistem cukai ini melaporkan hasil negara adalah amat rendah termasuk Malaysia sejak tiga tahun lepas,” katanya laporan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.