
Ketua pengarahnya, Rodzi Md Saad, berkata antara tarikan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke Malaysia kerana kemudahan diperoleh dan mereka mencari perlindungan dengan UNHCR, yang mana kad dikeluarkan tanpa merujuk pihak berkuasa termasuk polis dan Jabatan Imigresen.
“Keputusan ini tidak adil untuk kita (rakyat Malaysia). Apabila UNHCR tidak merujuk pihak berkuasa kita terlebih dahulu, tindakan seolah-olah mereka tidak menghormati negara kita,” lapor Harian Metro.
Katanya, negara perlu mengurus pelarian sendiri yang akan dikendali MKN bersama agensi penguatkuasaan lain mengikut peranan masing-masing.
“Kita akan urus bersama tapi kita ada satu jawatankuasa tadbir urus di peringkat kementerian yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein,” katanya.
Rodzi ketika mengulas lanjut, berkata pihaknya sedang meneliti mekanisme sesuai dalam memastikan pelaksanaannya mantap dan teratur sebelum cadangan berkenaan disyor kepada kerajaan.
“Jadi, masanya (pelaksanaan) masih subjektif, bergantung kepada persiapan dan kejayaan pelaksanaan mekanisma yang kita uruskan sendiri.
“Pelan kerangka sudah ada supaya kita sendiri menguruskan Pati dan juga pelarian di negara kita, tanpa campur tangan asing,” katanya.