Saya ‘dipaksa’ masukkan surat sokongan dalam terbitan bon, kata bekas pegawai Perbendaharaan

Saya ‘dipaksa’ masukkan surat sokongan dalam terbitan bon, kata bekas pegawai Perbendaharaan

Siti Zauyah berkata, Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu, Irwan Serigar Abdullah "memaksa" beliau untuk memasukkan LoS dalam fail bagi pinjaman USD3 bilion.

Bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan, Siti Zauyah Desa berkata, surat sokongan kerajaan menunjukkan pelanggan tidak yakin dengan terbitan bon 1MDB. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan 1MDB Najib Razak bahawa, surat sokongan (LoS) yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk membolehkan syarikat itu memperoleh pinjaman USD3 bilion menunjukkan bakal pelanggan tidak yakin dengan terbitan bonnya.

Siti Zauyah Desa berkata, kerajaan berada dalam kedudukan “lemah” dalam usahanya untuk mengumpul dana.

Ketika ditanya dalam pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohamed mengenai apakah yang dimaksudkan sebagai “lemah”, Zauyah berkata, penarafan ekonomi Malaysia yang diukur oleh agensi global seperti Fitch adalah rendah pada masa itu.

Mahkamah diberitahu bahawa 1MDB menjalin usaha sama dengan Aabar Investment PJS pada 2012 untuk membangunkan projek Tun Razak Exchange (TRX).

Goldman Sachs membantu 1MDB mengumpul USD3 bilion melalui bon.

Pendakwaan berpandangan bahawa sebahagian daripada USD3 bilion, atau USD681 juta, telah dipindahkan ke akaun bank Najib antara 21 Mac dan 10 April 2013.

Zauyah berkata, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah ketika itu, “memaksa” beliau untuk memasukkan LoS dalam fail bagi pinjaman USD3 bilion.

Ketika ditanya pihak pembelaan sama ada LoS adalah dokumen “palsu”, Zauyah berkata, dia tidak dapat memberikan jawapan.

Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan menyalah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Najib yang dibawa ke penjara Kajang untuk menjalani hukuman berhubung kes rasuah SRC International bulan lalu, hadir di mahkamah hari ini.

Pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.