
Perintah reman ke atas pemandu Proton Wira Aeroback berusia 27 tahun itu dikeluarkan Majistret Nor Fazlina Musa susulan permohonan polis.
Dalam kejadian 9.30 pagi Ahad lalu, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Muhammad Nizam Samsudin, 46, meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta menyebabkan mangsa terbabas ke lorong kecemasan.
Rakannya, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Zaili Nizam Muhammad, 43, yang tidak sempat mengelak daripada merempuh motosikal Nizam patah kaki kanan.
Polis kemudian mengesan Proton Wira Aeroback bernombor pendaftaran TAC 5688 melalui rakaman kamera litar tertutup di Plaza Tol Gurun.
Hasil siasatan lanjut menunjukkan pemandu kereta dirakam CCTV itu melarikan diri selepas terbabit dalam kemalangan yang meragut nyawa Nizam.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Zaidy Che Hassan berkata, suspek ditahan selepas menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada 6.30 petang semalam.
Katanya, suspek mendakwa terpaksa melarikan diri untuk pulang ke rumah di Pokok Sena kerana bimbang dipukul dan tidak memiliki lesen memandu sah.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati kereta dipandu suspek adalah milik abang iparnya yang berada di Kuala Lumpur.
Katanya, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.