
Sebaliknya, kata Zaid, gelaran ‘kamikaze’ lebih sesuai diberikan kepada Thomas kerana mendakwa beliau mengakibatkan masalah tuntutan Sulu terhadap aset negara bernilai berbilion ringgit.
“Dia (Thomas) kata peguam-peguam Najib ni macam ‘suicidal’ dan ‘kamikaze’, sebab dia kata mana ada dalam (negara) Komanwel peguam tidak mahu membuat hujahan bagi pihak kliennya (anak guam), membuat hujah mempertahankan klien sehinggakan klien terpaksa masuk penjara.
“Sebenarnya tajuk ‘kamikaze’ ini lebih sesuai kepada Tommy Thomas, saya panggil dia peguam negara ‘kamikaze’ sebab dialah kita ada masalah tuntutan-tuntutan Sulu yang telah membahayakan aset negara berbilion ringgit, inilah kamikaze peguam negara kita,” katanya dalam hantaran video di Facebook.
Zaid juga mencabar Thomas supaya membuat penjelasan mengenai kenyataannya yang mendakwa beliau tidak dapat mendakwa bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz yang dikatakan menerima wang dari 1MDB dengan alasan siasatan belum selesai.
Katanya, Thomas memberi alasan itu ketika dia masih lagi memegang jawatan peguam.
“Betulkah ini Tommy (Thomas)? Anda pasti? Kamu sendiri berkata yang kamu tahu mengenai tuduhan-tuduhan ini, kamu mengakuinya.
“Singapura telah mendakwa Zeti dan keluarganya pada 2018, pada tahun itu dia (Singapura) dah tahu penglibatan Zeti dan Jho Low dalam 1MDB, kamu sebagai peguam negara patut tahu kerana kamu hanya meletak jawatan pada 2020.
“Kalau nak bagi alasan bagi alasan yang munasabahlah,” katanya.
Dalam video itu juga, Zaid turut mempersoalkan peranan Thomas dalam melantik ketua hakim ketika beliau masih memegang jawatan peguam negara.
Katanya, Thomas dalam memoir beliau memberitahu, yang beliau telah membantu bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, untuk melantik ketua hakim.
“Saya nak tanya Tommy (Thomas), proses pelantikan hakim ini tertakluk kepada suruhanjaya pelantikan kehakiman, nama hakim yang dibawa naik untuk dipersetujui, direstui oleh duli yang maha mulia (Yang di-Pertuan Agong) mestilah datang daripada suruhanjaya pelantikan kehakiman.
“Nama-nama (cadangan hakim yang akan dilantik) ini diberi kepada perdana menteri, dia bukan proses dari perdana menteri terus kepada Agong.
“Saya tahulah, sayalah orang yang mula-mula bersama-sama dengan Tan Sri Khalid yang merangka suruhanjaya perlantikan kehakiman, jadi kalau dalam buku kamu, kamu kata kamu dan Dr Mahathir melantik ketua hakim, ini adalah proses yang salah,” katanya.
Video yang dimuat naik Zaid adalah sebagai respon terhadap kenyataan Thomas dalam temubualnya yang disiarkan Malaysiakini.
Dalam temubual itu, Thomas mendakwa yang peguam Najib enggan membuat hujahan pada rayuan terakhirnya dan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak boleh diterima oleh mana-mana Komanwel British.