JKM dapat hak jagaan sementara kanak-kanak mangsa dera seksual

JKM dapat hak jagaan sementara kanak-kanak mangsa dera seksual

Perintah hak penjagaan sementara itu dikeluarkan Mahkamah Majistret mengikut peruntukan Seksyen 19 Akta Kanak-Kanak (AKK) 2001.

JKM berkata kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu perlu diselamatkan dan ditempatkan di Taman Sinar Harapan, Seremban.
PETALING JAYA:
Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang disyaki menjadi mangsa dera secara seksual oleh ibu kandungnya ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Taman Sinar Harapan (TSH) Ampuan Najihah, Seremban, bermula hari ini.

Perintah hak penjagaan sementara itu dikeluarkan Majistret Mohd Izwan Mohamed Noh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka mengikut peruntukan Seksyen 19 Akta Kanak-Kanak (AKK) 2001 selepas membenarkan permohonan Pegawai Pelindung Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Melaka Tengah, Zaris Shafira Zakaria.

Terdahulu, mahkamah diberitahu siasatan awal pelindung mendapati kanak-kanak itu perlu diselamatkan dan diletakkan di bawah perintah jagaan sementara di TSH.

Menurut Zaris, ibu kandung kanak-kanak kini ditempatkan di Hospital Permai, Tampoi kerana disahkan mengalami gangguan narsisistik (narcissitic disorder), manakala bapanya turut menghidap pelbagai penyakit serta tiada pekerjaan dan tempat tinggal tetap.

Katanya, pasangan masing-masing berusia 37 tahun itu berkahwin pada 8 Mei 2015 dan dikurniakan anak lelaki berusia lima tahun.

“Hasil siasatan awal, ibu kandung disyaki melakukan penderaan seksual kepada kanak-kanak itu dan merakam perbuatan itu selain membiarkan mangsa melihat dia melakukan hubungan intim dengan lelaki lain.

“Doktor pakar kanak-kanak di Hospital Melaka (HM) menyatakan, mangsa disahkan mengalami autisme sederhana dan perkembangannya tidak mencapai peringkat umur,” lapor Harian Metro.

Zaris berkata, hasil perbualan bersama bapa kandung pula, dimaklumkan dia sudah memeluk Islam ketika menjalani hukuman penjara dua bulan di Penjara Sungai Udang atas kesalahan bergaduh dengan abang kandung, namun tiada kad akuan memeluk Islam diterima pegawai pelindung.

“Bapa kandung mangsa menghidap penyakit sawan, darah tinggi dan kencing manis selain ketagihan alkohol.

“Berdasarkan maklumat daripada doktor HM, dia juga mempunyai rekod rujukan untuk rawatan psikiatri, namun tidak menghadiri temujanji,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JKM Melaka, Burhanuddin Bachik ketika dihubungi mengesahkan mengenai permohonan hak penjagaan sementara terhadap kanak-kanak terbabit.

Katanya, hasil perbincangan pihaknya mendapati kanak-kanak perlu diselamatkan dan diletakkan di bawah perintah jagaan sementara di tempat selamat mengikut subseksyen 25 (2) AKK 2021 iaitu bagi satu tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah bagi penyediaan laporan pelindung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.