Dokumen penghakiman Najib, Rosmah bocor: Kertas siasatan dikembalikan semula

Dokumen penghakiman Najib, Rosmah bocor: Kertas siasatan dikembalikan semula

Menurut ketua polis KL, ia akan dilengkapkan segera dan mungkin keterangan semua saksi yang dipanggil sebelum ini akan diambil semula jika ada keperluan.

Azmi Abu Kassim berkata, ia bagi membolehkan polis melengkapkan beberapa perkara dalam kertas siasatan terbabit. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata, kertas siasatan berhubung kes kebocoran keputusan penghakiman bekas perdana menteri, Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor telah dikembalikan semula kepada polis.

Menurut beliau, ia dikembalikan semula selepas diserahkan kepada timbalan pendakwa raya pada 30 0gos lalu kerana terdapat beberapa perkara yang mahu dilengkapkan oleh pihak polis.

“Kita akan melengkapkan kertas siasatan terbabit secepat mungkin dan jika ada keperluan kemungkinan keterangan semua saksi yang dipanggil sebelum ini akan diambil semula.

“Siasatan yang dilakukan kali ini akan memberi fokus terhadap tindakan yang dinasihatkan oleh TPR kepada polis bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, seramai 27 saksi sudah diambil keterangan iaitu 17 individu membabitkan kebocoran keputusan penghakiman Najib dan 10 lagi membabitkan Rosmah.

Sebelum ini, Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai memberitahu, antara saksi diambil keterangan melibatkan pegawai mahkamah untuk membantu siasatan ke atas dakwaan draf penghakiman bocor mengenai kes rasuah Rosmah.

Kenyataan itu diambil daripada kakitangan bahagian penyelidikan mahkamah dan Hakim Zaini Mazlan yang mendapati Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.

Penulis blog, Raja Petra Kamarudin berkongsi dokumen itu pada 29 Ogos lalu dengan mendakwa keputusan penghakiman yang mendapati isteri bekas perdana menteri itu bersalah, sudah ditulis.

Dalam perkembangan lain, Azmi berkata, kertas siasatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang didakwa memfitnah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Abd Latiff Ahmad sudah hampir lengkap.

“Sebaik kertas siasatan itu dilengkapkan, ia akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya minggu ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.