
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kampung Iboi Abu Hassan Samah, berkata hujan lebat sejak 5 petang tadi yang berterusan kira-kira dua jam menyebabkan paras air Sungai Kupang naik.
“Banjir kilat kali ini seakan-akan sama seperti kejadian yang pertama kali berlaku di sini, cuma kesannya tidak sebesar itu.
“Ada penduduk yang sudah berpindah dan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Kampung Padang Empang namun jumlah penduduk yang berpindah belum dapat dikenal pasti,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata setakat 9 malam, hujan di kampung itu sudah berhenti, namun dipercayai masih berlaku di kawasan Gunung Inas.
“Semua penduduk di kawasan yang rendah sudah dan sedang berpindah ke PPS kerana bimbang keadaan mungkin lebih buruk.
“Saya dimaklumkan ada kayu balak yang hanyut tetapi paras air yang tinggi dan arus deras menyebabkan tiada siapa yang dibenarkan masuk ke kawasan banjir untuk keselamatan,” katanya.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Baling mengesahkan kejadian itu dan sedang mengumpul maklumat.
Sementara itu, Ketua Polis Baling Shamsudin Mamat, berkata dua kawasan dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang berterusan.
Beliau berkata kawasan terbabit adalah Taman Bayu Sejahtera dan kawasan jajaran Kampung Iboi sehingga ke Kampung Hangus.
“Air di kawasan Taman Bayu Sejahtera telah surut pada 8 malam tadi namun di kawasan Kampung Iboi dan sekitarnya, sehingga pukul 9 malam, air masih mengalir deras dan dikhuatiri akan melanda beberapa kawasan di pekan Kupang.
“Tiada laporan diterima mengenai kehilangan ahli keluarga dan hujan juga telah berhenti kira-kira 6 petang tadi, bagaimanapun jambatan Bailey telah dinaiki air dan berlaku kerosakan struktur pada jambatan itu yang kini ditutup untuk semua kenderaan dan pejalan kaki,” katanya dalam kenyataan.
Shamsudin berkata, setakat ini sebanyak 120 mangsa di Kampung Padang Empang telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kampung Padang Empang.