Pilihan Khairy: Kerusi campuran, Seremban atau Port Dickson

Pilihan Khairy: Kerusi campuran, Seremban atau Port Dickson

Penganalisis politik berkata, imej reformis Khairy Jamaluddin masih merupakan aset pilihan raya, walaupun beliau tidak memihak kepada sesetengah pemimpin.

Khairy Jamaluddin yang merupakan Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal berkata, beliau mungkin tidak bertanding pada PRU15. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin masih merupakan aset kepada parti itu dan tidak mungkin digugurkan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, membazir untuk Umno tidak mencalonkan Khairy, manakala Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, parti itu akan mendapat persepsi negatif.

Azmi memberitahu FMT, Khairy menunjukkan prestasi baik sebagai menteri sains, teknologi dan inovasi, di mana beliau memikul tugas besar dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), dan kini menjadi menteri kesihatan.

“Walaupun beliau agak menyendiri, menentang Presiden (Ahmad Zahid Hamidi), keseluruhannya beliau adalah aset Umno, khasnya dalam menarik pengundi neutral,” kata Azmi.

“Khairy tidak lantang menentang kehendak presiden, berbanding individu lain seperti (Ahli Parlimen Ketereh dan bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa).”

Oh pula berkata, Khairy menampilkan imej reformis yang amat diperlukan Umno, sesuatu yang sangat diperlukan untuk parti itu menarik sokongan pengundi atas pagar.

Tetapi, beliau mendapati Khairy berpotensi menghadapi kesukaran kerana beliau tidak disenangi “puak arus perdana” dalam Umno.

Semalam, Khairy dilaporkan berkata, beliau mungkin tidak bertanding dalam PRU15 selepas diminta “memberi laluan” kepada Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan di kerusi Parlimen Rembau.

“Tak apa, senario terburuk, saya tidak akan bertanding,” kata Khairy yang merupakan Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal.

Azmi berkata, Khairy boleh bertanding hampir mana-mana kerusi Parlimen di Negeri Sembilan kerana beliau “boleh menyesuaikan diri secara semula jadi”.

Tetapi, Azmi dan Oh senada, kerusi seperti Seremban boleh memusnahkan kerjaya politiknya kerana beliau mungkin berdepan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook yang memenangi kerusi Parlimen itu sejak 2008.

Azmi berkata, Khairy boleh bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson, tetapi hanya jika Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tidak bertanding semula di sana.

Jika Anwar bertanding di kerusi lain, katanya, terdapat peluang baik untuk Khairy merampas semula kerusi Port Dickson buat Umno.

Oh berkata, Khairy berpeluang menang di banyak kerusi campuran kerana prestasinya sebagai menteri Kabinet sejak 2020 diterima baik kebanyakan rakyat Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.