Peralihan hijau lonjakan besar bagi PKS

Peralihan hijau lonjakan besar bagi PKS

Kurang persediaan dan kos tinggi dikatakan menjadi batu penghalang dalam usaha beralih kepada amalan perniagaan hijau.

MNC mengharapkan pembekal mereka, yang kebanyakannya terdiri daripada PKS, untuk memenuhi piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat menjelang 2025, tetapi kebanyakannya belum bersedia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sukar bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membuat peralihan kepada amalan perniagaan hijau dalam keadaan semasa, menurut dua kumpulan wakil mereka.

Persatuan PKS Malaysia dan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) memetik kekurangan persediaan dan kos yang tinggi sebagai batu penghalang.

Naib Presiden Persatuan PKS, Chin Chee Seong berkata, sehingga 90% PKS belum bersedia mengambil langkah itu, memandangkan mereka masih berdepan tekanan untuk memulihkan kerugian yang ditanggung semasa sekatan berkala dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19 pada 2020 dan 2021.

“Memberi lebih tekanan kepada mereka untuk mengetepikan sedikit dana untuk menerima pakai inisiatif berkaitan keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) serta matlamat pembangunan mampan (SDG) akan menyulitkan keadaan bagi mereka,” katanya kepada FMT Business.

Beliau berkata, bagi PKS, kesediaan menerima amalan perniagaan hijau turut bergantung kepada keuntungan mereka.

PKS yang besar, katanya, mempunyai dana diperlukan untuk melaksanakan peralihan hijau, namun PKS mikro tidak mampu berbuat demikian.

Presiden Samenta, William Ng menyuarakan sentimen sama dengan menegaskan tahap kesediaan dalam kalangan PKS untuk beralih kepada amalan perniagaan hijau berbeza-beza.

“Sesetengah PKS mempunyai pelanggan dalam kalangan syarikat multinasional (MNC) yang membantu mereka membuat peralihan itu dengan menyediakan garis panduan dan perkhidmatan perundingan. Kadangkala, mereka turut membiayai bersama beberapa pelaburan yang diperlukan untuk menaik taraf mesin dan loji jenis lama,” katanya kepada FMT Business.

“Bagaimanapun, majoriti PKS dibiarkan (menanganinya sendiri).”

Ng menegaskan peralihan kepada operasi rendah karbon bukan hanya soal mencari pengganti bahan mentah dan mengubah beberapa proses.

“Selalunya, ia melibatkan perbelanjaan modal besar untuk menggantikan keseluruhan talian (pengeluaran),” katanya.

Chin dan Ng mengulas laporan Malaysia akan rugi dengan ketara, jika PKS tidak melakukan peralihan karbon sifar bersih bersama rakan kongsi MNC mereka.

Laporan FMT Business pada 24 Ogos lalu memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Sustainable Finance Institute Asia Ltd, Eugene Wong, bahawa 80% MNC merancang untuk menggugurkan pembekal yang gagal mencapai sasaran peralihan karbon mereka menjelang 2025.

Akibatnya, Malaysia dijangka mengalami kerugian sehingga USD65 bilion (RM291.6 bilion) dalam hasil.

Walaupun tidak diragui peralihan sedemikian penting, kerajaan tidak banyak membantu.

Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri memperkenalkan Rangka Kerja ESG Kebangsaan untuk syarikat pembuatan. Antara lain, rangka kerja tersebut menggariskan beberapa faktor yang akan memudahkan peralihan bagi PKS dalam empat bidang.

Bidang itu terdiri daripada piawaian ESG, sokongan dan insentif kewangan, pembinaan kapasiti dan mekanisme pasaran yang merangkumi perdagangan dan harga karbon.

Bagaimanapun, ahli ekonomi Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia berkata, kemungkinan untuk PKS mendapatkan insentif fiskal bagi peralihan hijau dalam belanjawan akan datang adalah rendah, disebabkan ruang fiskal kerajaan yang terhad.

“(Bagaimanapun) saya pasti kerajaan akan mahu mencari jalan untuk menggalakkan pemerolehan teknologi yang diperlukan dalam jangka sederhana,” katanya kepada FMT Business.

Sekalipun berdepan cabaran, peralihan yang berjaya dapat dicapai.

Seperti yang dikatakan Renard Siew, pakar perubahan iklim di Pusat Kajian Tadbir Urus dan Politik, banyak PKS berada di “peringkat permulaan” dalam usaha mewujudkan jejak karbon mereka.

Sebagai dorongan untuk mereka, Chin berkata, kerajaan boleh memperkenalkan dana atau insentif cukai untuk membantu PKS mengambil langkah itu. Pada masa sama, katanya, permohonan bantuan seumpama itu patut dipermudahkan.

Bagi PKS, perjalanan ini perlu ditempuhi. Seperti yang dinyatakan Chin, kegagalan berbuat demikian bermakna kalah kepada pesaing yang menerima perubahan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.