Isu air: Tuan Ibrahim digesa bercakap sebagai menteri, bukan orang PAS

Isu air: Tuan Ibrahim digesa bercakap sebagai menteri, bukan orang PAS

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, tugas Tuan Ibrahim Tuan Man untuk memastikan seluruh negara mempunyai sumber air mentah mencukupi.

Chow Kon Yeow berkata, Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan Pulau Pinang tidak wajib membayar Kedah bagi air yang diambil dari Sungai Muda dari segi undang-undang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow meminta Tuan Ibrahim Tuan Man bercakap sebagai menteri alam sekitar dan air, bukannya pemimpin PAS berhubung isu air membabitkan negeri utara itu dan Kedah.

Chow berkata, tugas Tuan Ibrahim untuk memastikan seluruh negara mempunyai sumber air mentah mencukupi dan menangani masalah kekurangan air di mana-mana negeri.

Beliau juga mempersoalkan jika kenyataan Tuan Ibrahim bahawa Pulau Pinang mempunyai “tanggungjawab moral” membayar Kedah atas air yang diambil dari sungai dikongsi kedua-dua negeri itu, bermakna negeri terbabit tidak wajib berbuat demikian dari segi undang-undang.

“Saya mengambil kenyataan beliau sebagai pengesahan hak undang-undang Pulau Pinang untuk menggunakan sumber air mentah dari Sungai Muda.

“Bayangkan jika bekalan air Sungai Muda tergendala akibat aktiviti pembalakan dan perlombongan. Ia akan menjejaskan tiga negeri – Perlis, Kedah dan Pulau Pinang,” katanya di luar sebuah program di Balik Pulau.

Beliau mengulangi ini ialah isu nasional yang perlu ditangani Putrajaya.

Pulau Pinang mengambil air dari Sungai Muda di Kepala Batas, kemudiannya diproses di Butterworth dan dibekalkan kepada 80% daripada 1.78 juta penduduknya.

Negeri itu enggan melayan tuntutan membayar yang disuarakan Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor berulang kali.

Tuan Ibrahim berkata, Pulau Pinang perlu membayar token kepada Kedah memandangkan negeri itu telah memulihara beribu-ribu hektar hutan simpan bagi memastikan kawasan tadahan air tidak musnah.

Katanya, ia telah menyebabkan Kedah kehilangan hasil yang sangat diperlukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.