
Menyuarakan keyakinan merampas kerusi PKR itu, Ketua Umno Bahagian Batu, Yahaya Mat Ghani berkata, peluang Umno menang lebih tinggi berbanding calon MCA, memandangkan jumlah pengundi Melayu yang ramai.
Beliau mendakwa kumpulan pengundi terbesar itu mahu calon Melayu dan kegagalan BN berbuat demikian mungkin menyebabkan berlakunya undi protes.
“Saya tetap yakin peluang BN menang di Parlimen Batu kali ini lebih tinggi, jika meletakkan calon Umno,” katanya kepada FMT.
Yahaya berkata, Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan, jika berlaku pertandingan lebih empat penjuru yang dikatakan bakal berlaku pada PRU15, termasuk membabitkan pertembungan bekas penyandang, Tian Chua dan penyandang sedia ada, P Prabakaran.
“Pecahan undi daripada pertembungan itu dan sokongan orang Melayu boleh memberi peluang kepada Umno rampas kerusi Batu.”
Katanya, BN juga boleh menang, jika tiada isu nasional berbangkit seperti 1MDB yang menjadi punca kekalahannya pada PRU14.
Sebelum ini, FMT melaporkan Parlimen Batu dijangka antara kerusi panas pada PRU15 kerana menjadi tumpuan ramai calon daripada BN, Perikatan Nasional (PN), PKR dan bebas, antaranya peguam, Siti Kasim.
Parlimen Batu dikuasai Tian Chua daripada PKR sejak 2008 hingga 2013. Pada 2018, penolakan pencalonannya mencetuskan kontroversi kerana dibuat atas alasan beliau pernah disaman RM2,000 oleh mahkamah pada 2010.
Tian Chua kemudian mengambil pendirian menyokong calon bebas, Prabakaran yang ketika itu merupakan pelajar undang-undang berusia 22 tahun, yang memenangi kerusi itu dan menyertai PKR sebagai Ahli Parlimen termuda di negara ini.
Tian Chua kemudian tewas kepada “anak didiknya” itu bagi jawatan ketua bahagian Batu dalam pemilihan parti Mei lalu.
Pada pilihan raya sebelum ini, BN diwakili Gerakan yang kali terakhir memenangi kerusi itu pada 2003. Bagaimanapun pada 2018, parti itu meninggalkan BN dan ia membuka peluang kepada parti komponen lain seperti Umno dan MCA untuk mencuba nasib di Parlimen Batu.
Parlimen Batu dianggarkan memiliki 112,000 pengundi selepas diambil kira pengundi 18 tahun dan pendaftaran secara automatik. Pecahan undi mengikut kaum di kawasan itu adalah 43% Melayu, Cina (30%), India (20%), dan 7% bagi lain-lain.