Sindiket tipu kerja, 200 rakyat Malaysia jadi mangsa di luar negara, kata menteri

Sindiket tipu kerja, 200 rakyat Malaysia jadi mangsa di luar negara, kata menteri

Menteri Luar berkata terdapat 148 mangsa di Kemboja, 22 di Laos, dua di Myanmar dan 23 di Thailand setakat 2 Sept.

Saifuddin Abdullah berkata kementerian luar sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan untuk membawa pulang mangsa.
PETALING JAYA:
Hampir 200 rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand, kata Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, kementerian telah menerima banyak laporan mengenai perkara itu.

Baru-baru ini, beliau menerima surat daripada Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan ADUN Kesidang Seah Shoo Chin untuk meminta bantuan membawa pulang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa di luar negara.

“Sehingga 2 Sept, seramai 148 mangsa berada di Kemboja, Laos (22), Thailand (23) dan Myanmar (2),” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, katanya, seramai 65 mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa pulang dari Kemboja, 10 dari Laos, Thailand (10) dan dua dari Myanmar.

Saifuddin berkata, kementerian memandang serius laporan ini dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan di negara berkenaan untuk membawa pulang mangsa.

“Pada masa sama, proses ini tertakluk kepada prosedur dan undang-undang negara terbabit. Ini akan mengambil masa,” katanya.

Beliau menasihatkan keluarga dan individu lain yang menjadi mangsa sindiket sedemikian supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan atau terus menghubungi kementerian luar di [email protected].

“Saya juga menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara, khususnya melalui media sosial,” katanya.

Terdahulu, Bernama melaporkan 16 rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Kemboja dan kini sedang disoal siasat di balai polis Phnom Penh.

Saifuddin juga mengesahkan, kesemua 16 mereka yang ditahan berada dalam keadaan baik namun tidak menjelaskan lebih lanjut mengapa mereka disiasat.

Ditanya sama ada mereka yang ditahan adalah sebahagian daripada kumpulan mangsa penipuan pekerjaan, Saifuddin berkata, ia masih belum dapat dipastikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.