
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, bagaimanapun enggan mendedahkan siapa dan di peringkat mana dalam Umno perbincangan itu berlaku, namun pemimpin terlibat “mempunyai jawatan” dan berkeupayaan “mempengaruhi keputusan” pucuk pimpinan Umno.
“Apabila kita kata bincang dengan Umno tak semestinya dengan pemimpin-pemimpin tertentu mungkin akan sampai ke arah itu, tetapi macam biasalah kita buat perundingan di peringkat tertentu yang tak perlu kita ‘disclosed’ (dedahkan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Muktamar Tahunan PAS ke-68.
“Pemimpin yang kita rasa tak semestinya boleh buat keputusan, tetapi boleh menuju ke arah perbincangan lebih rasmi dan mempunyai ‘standing’ berbincang dengan kita.”
Semalam, Mohamad mengingatkan pemimpinnya supaya tidak mengadakan “rundingan dalam gelap” susulan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mendakwa kedua-dua parti sedang berunding melibatkan pimpinan parti hingga ke peringkat akar umbi.
Katanya, beliau sendiri tidak mengetahui siapakah individu dari Umno seperti dimaksudkan Hadi yang sedang menjalankan rundingan dengan partinya.
Hadi dalam sidang media selepas perasmian muktamar, di Kompleks Pas Kedah, di Alor Setar, semalam, menyatakan rundingan antara Umno dan PAS ketika ini masih berjalan.