
ADUN Kulim Yeo Keng Chuan bercakap mengenai kebimbangan penduduk selepas beliau terjumpa laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) yang dihantar kepada pengawal selia alam sekitar.
Yeo berkata ia mengejutkan apabila projek itu mendapat persetujuan daripada Jabatan Perhutanan Negeri dan Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) untuk konsesi selama 60 tahun.
FMT telah menghubungi Jabatan Alam Sekitar Kedah sama ada EIA – yang diterbitkan di laman web DoE – telah diluluskan. Exco hal ehwal alam sekitar, Robert Ling, juga telah dihubungi.
Menurut Yeo, prosedur biasa adalah untuk memastikan EIA diluluskan sebelum sesuatu projek dapat dijalankan.
“Ia tidak dapat dibayangkan pada ketika kita berdepan perubahan iklim dan banjir kilat yang kerap di Kedah untuk aktiviti pembalakan seperti itu dibenarkan untuk dijalankan,” katanya.
Laporan rasmi mengenal pasti proses geologi lata – hujan lebat, tanah runtuh, aliran serpihan dan banjir serta banjir lumpur – sebagai punca utama banjir pada Julai di Baling yang menjejaskan 41 kawasan dan meragut tiga nyawa.
“Tambahan pula, bukit-bukit ini merupakan tadahan air yang berharga. Jika lumpur mengalir turun dari cerun bukit yang ditarah ke sungai-sungai utama kita, kita akan berdepan masalah bekalan air,” kata Yeo kepada FMT.

Yeo berkata mahu atau tidak, jalan raya perlu dibina untuk mencapai bahagian tertinggi bukit pada kontur 45 darjah, yang boleh menyalurkan air yang dipenuhi lumpur selepas hujan lebat.
Beliau bertanya sama ada kerajaan negeri telah memastikan aktiviti pembalakan mengikut kawalan hakisan yang ketat bagi membendung banjir.
“Jarak ke pekan Kulim, Hi-Tech Park dan pekan lama tidak jauh. Sebaik-baiknya pembalakan itu, jika sudah berjalan, ditangguhkan untuk mengelak kemungkinan malapetaka,” katanya.
Yeo berkata daerah Kulim yang lebih besar mempunyai banyak sungai yang mengalir menuruni bukit, yang meletakkan kawasan itu berisiko lebih teruk banjir kilat sekiranya pembalakan terus dijalankan di kawasan hulu.
“Sudah ada kejadian banjir kilat yang teruk di sungai Karangan, Kob, Kulim dan Jarak. Sistem sungai yang rumit berisiko lebih tinggi jika lebih banyak bukit berteres dan ditarah, mewujudkan lebih banyak tanah terdedah.
“Lumpur akan dibawa turun dari bukit-bukit semasa hujan lebat dan seluruh tempat akan terjejas,” katanya.
Menurut EIA, tiga spesis perlu ditebang iaitu Merbau, Kelempayan dan Batai. Untuk laporan, 150 orang di 10 kawasan kediaman telah disoal selidik, dengan 60% daripada mereka menentang projek itu.
Imej satelit menerusi Google Earth berdasarkan koordinat pada EIA menunjukkan 390ha di kawasan itu telah pun ditarah.
Dalam maklum balas segera, Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berkata projek itu sudah lama diluluskan sebelum beliau memegang jawatan itu.
Katanya, apabila beliau menjadi menteri besar, beliau mendapati 22,000 hektar telah pun diluluskan untuk pembalakan sedangkan maksimum yang dibenarkan ialah 15,000 hektar oleh Majlis Tanah Negara.
“Saya hairan kenapa YB (Yeo) tidak membangkitkan perkara ini semasa beliau menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) atau menghantar surat meminta ia dibatalkan,” katanya.