
Cadangan itu dikemukakan perwakilan dari negeri berkenaan yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Noor Najhan Mohamad Salleh semasa sesi perbahasan ucapan dasar presiden, di Muktamar Tahunan PAS ke-68, di sini.
“PAS Selangor, sebagaimana permintaan beberapa negeri yang lain seperti Kedah turut meminta izin untuk bertanding menggunakan lambang PAS dalam PRU15. Setuju atau tidak perwakilan Selangor?” katanya sambil disahut laungan setuju dari perwakilan.
Sebelum ini, PAS Kelantan, Terengganu serta Kedah bercadang untuk menggunakan logo parti itu di negeri masing-masing.
Najhan yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Selangor turut mencadangkan supaya pucuk pimpinannya berunding dengan parti dalam gabungan Muafakat Nasional (MN) termasuk Perikatan Nasional (PN) demi menyelesaikan pembahagian kerusi secara saksama sebagai memastikan pertandingan satu lawan satu menentang Pakatan Harapan (PH).
“Rakyat Selangor khasnya umat Melayu tak akan menolak PH melainkan kita menawarkan politik penyatuan ummah (MN-PN).
“Atas dasar mempertahankan PN dan memperkukuhkan MN, saya ingin bertanya siapakah musuh kita yang sebenar sama ada Bersatu atau pun Umno, apakah Bersatu musuh kita? Apakah Umno musuh kita? Sudah pasti musuh utama kita PH,” katanya.
Katanya, Selangor berpotensi untuk diambil alih pentadbiran kerajaan negerinya dengan syarat berlaku pertemuan satu lawan satu menentang calon PH.