Pameran hanya fokus presiden, kata PAS berhubung ketiadaan potret Nik Aziz

Pameran hanya fokus presiden, kata PAS berhubung ketiadaan potret Nik Aziz

Pameran Arkib PAS Pusat sempena Muktamar PAS ke-68 hanya membabitkan pemegang jawatan presiden parti.

Pameran tokoh pemimpin PAS sempena muktamar kali ini bertemakan sejarah penubuhan awal PAS bermula 1951.
ALOR SETAR:
PAS menjelaskan tema pameran Arkib PAS Pusat sempena Muktamar PAS ke-68 hanya membabitkan pemegang jawatan presiden parti, sekaligus menafikan sebarang laporan bahawa parti itu tidak menghargai jasa Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am PAS.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Nadzir Helmi menjelaskan hanya potret bekas mursyidul am PAS, Yusof Rawa yang juga presiden PAS ketika itu dipaparkan kerana sejarah penubuhan Jawatankuasa Majlis Syura Ulamak PAS yang bermula pada 1987 disandang olehnya.

“Maka tidak hairanlah jika gambar beliau dipapar sebagai bekas presiden PAS.

“Yang menjadi keraguan saya, apa tujuan ditulis ‘PAS only accepted Umno’s overtures after Nik Aziz’s death in 2015’ hanya semata-mata tiada gambar Tuan Guru (Nik Aziz) yang kami sanjungi.

“Untuk pengetahuan, ada seorang bekas mursyidul am yang tiada dalam gambar galeri, iaitu Harun Din, tetapi tiada pula diulas,” katanya ketika menjelaskan mengenai laporan sebuah portal.

Beliau yang kecewa dengan laporan demikian meminta media supaya lebih bertanggungjawab sebagai lidah penyampai maklumat bagi melahirkan rakyat dengan minda kelas pertama.

“Sungguh, saya kecewa dengan persepsi begini ketika negara perlukan seluruh ahli politik bersatu untuk berfikir siang dan malam untuk rakyat, tetapi lidah media yang tidak bertanggungjawab begini memecahkan dan meretakkan lagi usaha untuk berpadu dalam meneliti nasib rakyat yang kian meruncing,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui FMT, Sekretariat Jabatan Arkib dan Perpustakaan Yusof Rawa Jamian Aini Mohd Rafiei menjelaskan pameran tokoh pemimpin PAS sempena muktamar kali ini bertemakan sejarah penubuhan awal PAS bermula 1951 dengan memfokuskan barisan presiden parti dari awal penubuhan hingga kini.

“Pameran hari ini fokus kepada barisan presiden manakala mursyidul am kita hanya ambil yang sekarang. Pameran hari ini lebih kepada perjuangan awal penubuhan PAS, sebab itu kita bawakan dokumen lama-lama,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 1951, parti itu mempunyai tujuh presiden. Galeri itu mempamerkan potret Ahmad Fuad Hassan yang juga pengasas PAS, Abbas Alias, Burhanuddin al-Helmy, Mohd Asri Muda, Yusof Rawa, Fadzil Mohd Noor. Namun, hanya gambar Harun Din tidak dipaparkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.