Kontrak saham DNB akan dirangka semula, kata Annuar

Kontrak saham DNB akan dirangka semula, kata Annuar

Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata, proses itu mungkin mengambil masa sehingga dua minggu kerana perlu berbincang cara terbaik mengagihkan semula saham DNB.

Annuar Musa berkata, Kementerian Kewangan mempertimbangkan untuk mempelawa syarikat telco swasta lain mengambil baki saham DNB. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kontrak asal pengagihan saham Digital Nasional Bhd (DNB) yang dipersetujui kerajaan dan Kabinet perlu dirangka semula selepas dua syarikat telekomunikasi menarik diri, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa.

Katanya, proses itu mungkin mengambil masa sehingga dua minggu kerana perlu mengadakan perbincangan berhubung cara terbaik untuk mengagihkan semula saham memandangkan kini tiada lagi majoriti.

“Salah satu cara adalah empat (telco) lain diberikan saham lebih besar. Tetapi, ini akan mengambil masa kerana mereka perlu berbincang dengan ahli lembaga pengarah masing-masing,” katanya dalam sidang media.

Annuar berkata, Kementerian Kewangan mempertimbangkan kemungkinan mempelawa syarikat telco swasta lain untuk mengambil saham DNB selebihnya.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz mengesahkan kementerian itu hanya akan memegang 30% saham dalam DNB berbanding 100% pegangan ekuiti pada asalnya.

Ditanya sama ada baki 70% saham itu akan dibahagikan kepada pengendali rangkaian mudah alih (MNO) selebihnya, Zafrul berkata, ia masih dalam pertimbangan.

Katanya, Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd (YES) telah mendapat persetujuan ahli lembaga pengarah serta bersedia menandatangani perjanjian untuk melanggan saham DNB bagi pelancaran 5G di Malaysia.

Katanya, Digi.com Bhd dan Celcom Axiata Bhd pula masih menunggu kelulusan lembaga pengarah, sama ada akan meningkatkan pegangan ekuiti mereka dalam DNB.

Sebelum ini, Maxis dan U Mobile dilaporkan menolak tawaran untuk mengambil saham dalam DNB.

Annuar berkata, kerajaan tidak akan memaksa dua telco yang menarik diri itu mengambil sebarang saham dalam DNB dan pelancaran 5G akan diteruskan dengan empat syarikat lain.

“Kami responsif terhadap keperluan orang ramai dan akan melakukan yang terbaik untuk memastikan majoriti saham itu dimiliki MNO swasta.”

Beliau berkata, kementeriannya tidak mahu menangguhkan pelancaran 5G yang dijadualkan bermula bulan ini, mengikut garis masa dipersetujui, dan halangan buat sementara itu tidak akan menghalang rancangan kerajaan menyediakan 80% liputan 5G di negara ini menjelang 2024.

“Jika tidak bulan ini, maka awal Oktober,” katanya sambil menambah beliau tidak mahu melengahkan pelancaran 5G lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.