Ulama PAS mahu Jakim diberi ‘kuasa besar’ halang konsert artis Barat

Ulama PAS mahu Jakim diberi ‘kuasa besar’ halang konsert artis Barat

Penglibatan Jakim dalam agensi bertanggungjawab sekadar cukup syarat menyebabkan badan itu gagal menghalang penganjuran konsert artis Barat yang didakwa membawa budaya bertentangan agama dan budaya.

Dewan Ulama PAS mahu Jakim diberi peranan lebih besar dalam Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).
YAN:
Dewan Ulama PAS mahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diberi peranan lebih besar dalam Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Ketua Dewan Ulama, Ahmad Yahya, berkata penglibatan Jakim dalam Puspal ketika ini hanya “sekadar cukup syarat” menyebabkan badan itu gagal menolak penganjuran konsert artis Barat yang bertentangan dengan agama dan budaya.

Beliau turut mengecam pengaruh artis Barat yang terkenal dengan sokongan mereka terhadap lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kerana ia akan memberi kesan buruk kepada masyarakat.

“Kita juga sewajarnya peka terhadap ancaman pendukung ideologi LGBT yang sedang meresap masuk ke rantau ini. Penganjuran konsert yang menampilkan artis-artis Barat bertentangan dengan agama dan budaya ketimuran di negara. Apatah lagi dalam keadaan negara baharu sahaja menempuh tempoh pemulihan pasca pandemik yang perlu ditanggapi dengan rasa penuh insaf.

“Sewajarnya penglibatan agensi agama seperti Jakim ke dalam Puspal diberikan suara yang kuat untuk didengari oleh pihak jawatankuasa,” katanya ketika berucap di Muktamar Dewan Ulama PAS di Guar Chempedak, Kedah.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, berkata Jakim tidak boleh berbuat apa untuk menentang penganjuran konsert artis Barat.

Katanya, hanya Jakim sahaja yang tidak bersetuju dengan penganjuran itu sedangkan 15 agensi lain bawah Puspal menyokong, menyebabkan penganjuran konsert artis Barat diteruskan.

Yahya yang juga senator turut menggesa kerajaan menambah baik dasar sosial bawah Pelan Tindakan Sosial Islam bagi mengekang budaya songsang itu daripada terus menular dalam negara.

Katanya, pelan tindakan itu perlu ditambah baik sejajar dengan perkembangan semasa bagi memastikan setiap ruang-ruang halus penyerapan masuk agenda LGBT dapat segera ditutup.

“Perkara ini termasuklah melalui rancangan-rancangan kartun kanak-kanak serta penstriman langsung seperti Netflix. Peranan Lembaga Penapisan Filem (LPF) perlu lebih tegas dalam menghalang usaha normalisasi unsur LGBT melalui karya-karya perfileman yang masuk ke dalam negara,” katanya.

Menerusi ucapannya, Yahya juga berharap PAS memastikan satu lawan satu berhadapan dengan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-15.

“Kita mengharapkan prinsip memperkasa Muafakat Nasional serta mempertahan Perikatan Nasional akan membuahkan hasil kepada penguasaan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen yang dikuasai oleh Melayu-Islam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.