
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata beliau juga sedang merancang untuk memanggil pemimpin semua parti politik bagi menghadiri sesi taklimat khas.
Katanya, taklimat akan melibatkan Majlis Keselamatan Negara, Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan agensi berkaitan bagi memberi gambaran jelas mengenai situasi semasa dan langkah perlu diambil.
Terdahulu, Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin menggesa kerajaan memanggil sidang khas Dewan Rakyat bagi membincangkan implikasi konflik di Asia Barat.
“Kita bincang dengan MB, KM, premier dan semua pemimpin parti dahulu. Soal sidang khas Parlimen itu biar ada rancangan untuk kita mengatasi (isu).
“Bila sudah ada rancangan, baru kita boleh bincang secara konkrit (di Parlimen),” kata Anwar selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.
Sementara itu, Anwar menegaskan Malaysia menyokong usaha damai membabitkan Iran susulan konflik di Asia Barat yang memerlukan penyelesaian adil untuk semua pihak.
Jelasnya, perbincangan telah diadakan dengan presiden Iran yang turut menyuarakan komitmen meneruskan langkah ke arah perdamaian, tetapi Malaysia berpegang kepada prinsip punca keganasan perlu diakui, termasuk serangan awal yang dilancarkan Israel dan Amerika Syarikat.
Beliau berkata, konflik itu bukan sahaja memberi kesan kepada rantau terbabit, tetapi turut memberi tempias kepada negara lain, termasuk Malaysia.
Setakat ini, katanya, keadaan di Malaysia masih terkawal tanpa sebarang kenaikan mendadak harga minyak serta barangan, dengan hasil minyak negara dijangka mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei nanti.