Mahkamah Rayuan bebas pekerja kilang disabit rogol gadis bawah umur

Mahkamah Rayuan bebas pekerja kilang disabit rogol gadis bawah umur

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan terakhir Arfahsyar Ishak terhadap sabitan kerana terdapat percanggahan material oleh pengadu.

Arfahsyar Ishak dibebaskan daripada tuduhan merogol mangsa yang berusia 15 tahun dan sembilan bulan ketika itu, dalam kejadian di sebuah hotel di Kedah pada 2014. (Gambar Reuters)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan membebaskan seorang pekerja kilang yang disabitkan kesalahan merogol seorang gadis bawah umur lapan tahun lalu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hadhariah Syed Ismail berkata, mereka membenarkan rayuan terakhir Arfahsyar Ishak terhadap sabitan kerana terdapat percanggahan material oleh pengadu.

“Dia bukan saksi yang boleh dipercayai kerana percanggahan material dalam keterangannya semasa perbicaraan,” kata Hadhariah, yang bersidang bersama Nordin Hassan dan See Mee Chun.

Walaupun disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Sesyen pada 2017, Arfahsyar dibebaskan dengan ikat jamin.

Peguamnya, G Ravishankar, turut memberitahu mahkamah bahawa gadis yang didakwa menjadi mangsa itu, kini berusia 23 tahun, telah membuat laporan polis pada 2019 untuk menarik balik aduannya yang menyebabkan polis memulakan siasatan.

“Gadis itu juga telah menghantar pesanan teks kepada anak guam saya untuk memohon maaf,” katanya sambil menambah laporan pertama dibuat dengan harapan Arfahsyar akan mengahwininya.

Bagaimanapun katanya, gadis itu telah memaklumkan kepada doktor semasa pemeriksaan kesihatan laporan pertama dibuat kerana Arfahsyar telah menemui teman wanita baharu dan tidak membalas pesanan teksnya.

Lelaki terbabit didakwa merogol gadis itu, yang berusia 15 tahun dan sembilan bulan ketika itu, di sebuah hotel di Bedong, Kedah, pada 4 April 2014.

Pada 2017, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan terhadapnya.

Bagaimanapun, pada 2018, Mahkamah Tinggi mengurangkan tempoh penjara kepada lapan tahun dan lima sebatan susulan rayuan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fairuz Johari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.