Kerajaan Perancis beri keutamaan tertinggi siapkan LCS, kata Hishammuddin

Kerajaan Perancis beri keutamaan tertinggi siapkan LCS, kata Hishammuddin

Menteri kanan pertahanan berkata komitmen Perancis selari dengan syor PAC dan keputusan Jemaah Menteri supaya projek LCS diteruskan demi kepentingan tentera laut.

Hishammuddin Hussein berkata komitmen itu dinyatakan pihak kerajaan Perancis dalam pertemuan antara kedua-dua negara.
PETALING JAYA:
Kerajaan Perancis meletakkan keutamaan tertinggi untuk meneruskan dan menyiapkan kapal tempur pesisir (LCS), kata Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata komitmen itu dinyatakan pihak kerajaan Perancis dalam pertemuan antara kedua-dua negara.

“Ini merupakan perkembangan yang mustahak terutama di fasa mobilisasi enam bulan seperti diputuskan Jemaah Menteri April lalu,” katanya di Facebook.

Katanya, komitmen kerajaan Perancis selari dengan syor Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) serta keputusan Jemaah Menteri supaya projek LCS diteruskan demi kepentingan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sementara itu, wakil kerajaan Perancis dalam ucapannya memaklumkan mereka teruja untuk meneruskan semua kerjasama antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang dibincangkan termasuk di luar kementerian.

“Kami bertekad untuk bantu sebaik mungkin dan menjemput (Hishammuddin) jika perlu.

“Kami akan usahakan projek LCS dan projek-projek lain,” katanya menerusi ucapan dalam video dimuat naik di hantaran itu.

Pada 20 April lalu, Kabinet sebulat suara bersetuju meneruskan perolehan LCS dan akan memantau dengan teliti tempoh mobilisasi enam bulan untuk memulakan semula projek itu.

Antara faktor diambil kira termasuk LCS adalah aset yang amat dikehendaki dan diperlukan, selain bukan sekadar memenuhi perancangan pemodenan TLDM mengikut pelan transformasi sedia ada.

Sebelum ini, PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

PAC dalam laporannya berhubung projek itu turut memaklumkan kajian daya maju (due diligence) yang dilakukan kerajaan terhadap syarikat BNS untuk pembinaan lima kapal LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat itu.

Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.