Warga emas maut ketika mendaki Gunung Pulai

Warga emas maut ketika mendaki Gunung Pulai

Menurut pihak bomba, mangsa, Chua Kok Wah, 62, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa dikatakan mengalami sesak nafas ketika menjalani aktiviti mendaki bersama keluarganya di Gunung Pulai, pagi semalam, menurut pihak berkuasa. (Gambar Bomba)
JOHOR BAHRU:
Seorang lelaki warga emas maut selepas dikatakan mengalami kesesakan nafas semasa menjalani aktiviti mendaki bersama dengan keluarganya, kira-kira tiga kilometer dari kaki Gunung Pulai, Kulai, pagi semalam.

Pegawai Bomba Kanan II, Asmiza Zaini berkata, tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai bergegas ke lokasi selepas Pusat Gerakan Operasi negeri menerima panggilan kecemasan pada 10.11 pagi, dan sebaik tiba, Chua Kok Wah, 62, didapati telah dibawa turun ke pondok pengawal di kaki gunung oleh orang awam.

Dalam kenyataan malam tadi, beliau memberitahu warga emas itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu dalam insiden berasingan, seorang lelaki warga Myanmar yang terjatuh ke dalam sungai ketika menjala ikan petang tadi bersama rakannya di Sungai Melayu berhampiran Kilometer 6.6 Jalan Ismail Sultan, Iskandar Puteri, ditemukan lemas pada pukul 7 malam tadi.

Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Khairi Zainuddin dalam kenyataan semalam berkata, mayat Anayatullah Habi Rahman, 27, ditemukan 15 meter dari lokasi dia dipercayai jatuh.

“Bomba melancarkan operasi mencari dan menyelamat selepas dimaklumkan mengenai kejadian pada 3 petang tadi, sebelum menemukan mayat lelaki itu tersangkut pada ranting-ranting kayu hanyut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.