Hajiji arah 76 badan berkanun, GIC segera tubuh IGU

Hajiji arah 76 badan berkanun, GIC segera tubuh IGU

Ketua menteri berkata, daripada 85 badan berkanun dan GIC di Sabah, hanya sembilan yang telah menubuhkan unit berkenaan manakala selebihnya diberi peluang sehingga Disember tahun ini untuk berbuat demikian.

Hajiji Noor (kiri) melihat Buku Semakan Semula Pelan Antirasuah Jabatan Ketua Menteri (PAR JKM) 2019-2023 yang dilancarkannya sempena Hari Integriti Sabah 2022 di Auditorium Utama, Menara Kinabalu, di Kota Kinabalu, hari ini. (Gambar JKM)
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Hajiji Noor mengarahkan 76 badan berkanun negeri dan syarikat berkepentingan kerajaan (GIC) yang belum menubuhkan Unit Integriti dan Governans (IGU) supaya berbuat demikian iaitu pada tahun ini juga.

Katanya, daripada 85 badan berkanun dan GIC di Sabah, hanya sembilan yang telah menubuhkan unit berkenaan manakala selebihnya diberi peluang sehingga Disember tahun ini untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, penubuhan unit itu penting agar budaya kerja yang berintegriti diamalkan dalam perkhidmatan iaitu dengan telus, tiada kepentingan, tiada unsur salah guna kuasa serta patuh kepada peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa.

“Justeru, saya mengarahkan 76 lagi badan berkanun dan GIC yang belum menubuhkan IGU untuk mengambil perhatian serius dan saya hanya beri tempoh hingga bulan Disember tahun ini untuk menubuhkan unit di agensi masing-masing,” katanya ketika merasmikan Hari Integriti Sabah 2022 di Auditorium Utama, Menara Kinabalu, di Kota Kinabalu, hari ini.

Hajiji berkata, sembilan badan berkanun dan GIC yang sudah menubuhkan unit berkenaan ialah Lembaga Industri Getah Negeri Sabah; Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA); Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah; Perbadanan Pinjaman Sabah; Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO); Kumpulan Yayasan Sabah; Sabah Urban Development Corporation Sdn Bhd (SUDC); Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah; dan Lembaga Pelancongan Sabah.

Katanya, kerajaan telah mengeluarkan arahan bertarikh 12 Nov 2019 kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang kini dirujuk sebagai syarikat berkepentingan kerajaan (government interest company) untuk menubuhkan IGU dalam tempoh dua tahun daripada tarikh arahan dikeluarkan.

“Tanggungjawab ini perlu digalas sebaiknya oleh 20,920 penjawat awam negeri dan 107,097 persekutuan di Sabah. Ini juga (integriti) yang dituntut oleh kira-kira 3.4 juta rakyat Malaysia di Sabah.

“Ketirisan integriti yang menjejaskan keutuhan perkhidmatan seharusnya tidak berlaku sekiranya semua inisiatif kerajaan dan budaya kerja berintegriti dipatuhi,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut mengarahkan semua 17 Jabatan di bawah Jabatan Ketua Menteri supaya membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) masing-masing dengan tempoh diberikan sehingga Disember tahun ini.

Katanya, sehingga kini kesemua 11 kementerian di Sabah telah berjaya membangunkan OACP masing-masing.

“Pelan Antirasuah Jabatan Ketua Menteri, kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri merupakan dasar anti-rasuah yang mencerminkan hasrat murni dan komitmen untuk membanteras rasuah dalam perkhidmatan pentadbiran kerajaan.

“Semua jabatan, pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun negeri yang belum membangunkan OACP diberikan tempoh
sehingga bulan Disember 2023.

“Selain itu, GIC juga digalakkan untuk membangunkan OACP dan mendapatkan pensijilan “Anti Bribery Management System (ABM)”,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.