
Sumber yang dipetik Berita Harian berkata, suspek berusia 36 tahun itu mengaku pernah memukul mangsa menggunakan kayu dan tangan sejak sebulan lalu kerana si mati tidak mahu bekerja serta kerap memukul anaknya sendiri.
Katanya, suspek yang mempunyai lima rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Duda berusia 39 tahun itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani. Kematiannya disahkan pegawai perubatan sejurus tiba di zon merah Jabatan Kecemasan HSAH pada 3.40 petang.
Sumber itu berkata, pegawai perubatan membuat laporan polis susulan hasil pemeriksaan mendapati mangsa cedera di seluruh badan.
“Sepasukan anggota polis bergegas ke hospital menjalankan siasatan dan doktor yang membuat pemeriksaan mendapati kesan kecederaan di tubuh mangsa berlaku akibat dia dipukul sejak sebulan lalu.
“Pemeriksaan perubatan turut mendapati telinga kanan mangsa bengkak, kesan luka tangan kanan dan kiri, kesan pukul di kedua-dua peha serta luka di badan.”
Menurut laporan itu, polis kemudian mengambil keterangan ahli keluarga dan bekas isteri mangsa.
“Bekas isteri lelaki itu memberitahu, mangsa bersama seorang anak mereka tinggal di rumah rakan yang juga suspek kes terbabit.
“Hasil siasatan lanjut, beberapa jiran mendakwa terdengar pergaduhan antara dua rakan terbabit, namun takut membuat laporan polis kerana bimbang diancam suspek yang juga ahli kongsi gelap.”