‘Draf penghakiman’ cubaan pengaruhi badan kehakiman, kata peguam Rosmah

‘Draf penghakiman’ cubaan pengaruhi badan kehakiman, kata peguam Rosmah

Menurut Jagjit Singh, dokumen yang menimbulkan syak wasangka itu disediakan oleh seseorang atau lebih yang tidak mempunyai kuasa.

Peguam mewakili Rosmah, Jagjit Singh berkata, wujud bahaya sebenar berlakunya berat sebelah dalam perbicaraan kes isteri bekas perdana menteri itu.
KUALA LUMPUR:
Pasukan guaman Rosmah Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa “draf penghakiman” berhubung kes rasuahnya, yang dibocorkan baru-baru ini, dibuat oleh pihak yang “cuba mempengaruhi badan kehakiman”.

Menurut peguam mewakili Rosmah, Jagjit Singh, dokumen yang menimbulkan syak wasangka itu disediakan oleh seseorang atau lebih yang tidak mempunyai kuasa.

“Ia kelihatan seperti draf penghakiman yang nyata,” tambahnya.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan kemudian bertanya kepada Jagjit sama ada beliau “mencadangkan” bahawa hakim akan menggunakan dokumen yang dibocorkan oleh penulis blog Raja Petra Kamarudin itu sebagai penghakiman muktamadnya.

Jagjit membalas dengan berkata, bukan itu maksudnya.

“Itulah sebabnya kami mengatakan bahawa wujud bahaya sebenar berlakunya berat sebelah.”

Rosmah memohon agar Zaini menarik diri daripada mendengar kesnya susulan penyiaran “draf penghakiman” itu oleh Raja Petra minggu lepas.

Dia mendakwa, dokumen itu bukan disediakan oleh Zaini, tetapi oleh “pihak ketiga”.

Tambahnya, dia hilang keyakinan terhadap hakim itu untuk memutuskan kes rasuahnya disebabkan dokumen itu.

Terdahulu, pendakwa ad hoc Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah, dokumen yang didakwa “draf penghakiman” itu bukan suatu percubaan untuk mempengaruhi mahkamah.

Beliau berkata, ia hanyalah pendapat penulis-penulisnya yang juga kerani kehakiman.

Sri Ram berkata, Rosmah menyandarkan permohonannya bagi penarikan diri Zaini pada hantaran blog Raja Petra itu. Penulis blog itu bukan sumber yang “boleh dipercayai”, tambahnya.

“Dia melarikan diri daripada keadilan dan tinggal di UK, seorang wartawan yang ‘nakal’. Pandangannya berubah-berubah mengikut berapa dia dibayar,” katanya.

Sri Ram juga berkata, semasa beliau berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, ketua hakim negara ketika itu, Zaki Azmi, menawarkan untuk menyediakan pegawai penyelidik bagi membantunya.

Namun, beliau menolak tawaran itu. Setiap hakim “mempunyai cara sendiri melakukan sesuatu”, katanya.

“Jika pemohon (Rosmah) berasa terganggu dengan (draf penghakiman) ini, dia boleh menyebutnya dalam petisyen rayuan,” katanya.

Zaini memberitahu kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan bahawa mahkamah akan membuat keputusan lewat petang ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.