
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng, berkata media merupakan bahagian penting untuk demokrasi berfungsi dan tidak boleh lagi disekat atau diancam demi melindungi parti politik korup.
“Sekiranya berlaku mana-mana berita palsu dikeluarkan media, Umno sepatutnya mengarahkan ahlinya membuat aduan kepada pihak berkuasa berkaitan, seperti polis atau Kementerian Komunikasi dan Multimedia, bukan menyaman media kerana fitnah,” katanya dalam kenyataan.
Lim mengulas berhubung laporan Umno mengemukakan saman pemula kepada dua media susulan dakwaan mengeluarkan berita fitnah terhadap parti politik berkenaan.
Semalam, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki, berkata saman pemula sudah diserahkan kepada Malaysiakini dan Astro Awani menuntut kedua-dua media itu menarik balik, memohon maaf secara bertulis dan masing-masing membayar RM25 juta kerana “berita fitnah” yang diterbitkan dalam portal mereka.
Lim berkata, kebebasan media perlu dipertahan, selain mengingatkan Umno berhubung penghakiman Mahkamah Persekutuan, pada 2021, bahaa parti politik tidak boleh menyaman individu kerana fitnah kerana mereka tidak mempunyai “reputasi”.
Perkara berkenaan dibangkitkan kepada tujuh panel hakim bersidang, pada April tahun lalu, oleh Lim bagi membatalkan saman fitnah difailkan bekas setiausaha agung MCA, Ong Ka Chuan.
Pada Julai 2017, Ong, bagi pihak MCA, memfailkan saman fitnah atas kapasitinya sebagai pegawai awam, terhadap Lim berhubung kenyataan dibuatnya pada sidang media, di bangunan Parlimen, pada 2016, mendakwa parti itu menggunakan dana kerajaan yang diperuntukan kepada sekolah vernakular Cina.
Panel bersidang bersetuju dengan peguam Gopal Sri Ram, yang mewakili Lim, bahawa parti politik tidak boleh mengambil tindakan atas fitnah mengambil kira keputusan Goldsmith v Bhoyrul dan Rajagopal v Jayalalitha.
Gopal berhujah bahawa kedua-dua kerajaan dan parti politik, yang berdaftar, tidak boleh mengekalkan punca tindakan kerana fitnah kerana kedua-duanya tidak mempunyai reputasi.
Hakim Zaleha Yusof, berkata MCA “hanyalah parti politik” yang bergantung kepada ahlinya untuk mengambil tindakan, sekali gus tidak mempunyai reputasi.
Dalam kenyataannya, hari ini, Lim berkata, keputusan mahkamah tertinggi tidak mengesahkan ancaman Umno untuk mengambil tindakan perundangan terhadap Malaysiakini dan Astro Awani, sambil menyatakan tindakan sedemikian membazir masa dan sumber mahkamah.