Tiada siapa boleh paksa PM langgar prinsip pengasingan kuasa, Annuar jawab Azalina

Tiada siapa boleh paksa PM langgar prinsip pengasingan kuasa, Annuar jawab Azalina

Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata syor atau cadangan bersifat menjaga kepentingan kumpulan atau puak hanya sekadar pandangan peribadi atau polemik politik.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa mengulas berhubung pandangan dan kritikan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said terhadap badan kehakiman negara.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kekal istiqamah mengutamakan soal integriti dan mematuhi setiap prinsip pengasingan kuasa serta menjaga aspirasi dan harapan rakyat dalam setiap dasar kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, menegaskan setiap keputusan serta dasar kerajaan mesti mengikut jalur peraturan dan keluhuran undang-undang.

Beliau berkata, segala syor atau cadangan bersifat menjaga kepentingan kumpulan atau puak hanya sekadar pandangan peribadi atau polemik politik.

“Siapa sahaja boleh beri pandangan, tapi kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri akan kekal istiqamah berintegriti dan dengar suara hati rakyat.

“Tiada siapa boleh paksa perdana menteri buat sesuatu yang tak kena dengan keluhuran undang-undang dan pengasingan kuasa,” katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Kebangsaan 2022, di Dataran Merdeka.

Annuar menjawab pertanyaan pemberita berhubung pandangan dan kritikan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said terhadap badan kehakiman negara.

Sabtu lalu, Azalina dilapor menyampaikan ucapan penuh semangat berkaitan pelantikan peguam negara sewaktu program taklimat khas presiden Umno, di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.