
Pengerusinya, Aminuddin Harun, berkata ini kerana masih banyak perkara terutama berkaitan kepentingan rakyat yang memerlukan perhatian dan bantuan ketika ini, termasuk memulihkan ekonomi.
“Bila PRU15, masih menjadi teka-teki sekarang tapi saya cadangkan supaya pilihan raya dapat diadakan tahun hadapan, namun ia terpulang pada Majlis Presiden PH untuk menentukan.
“Pada masa ini, rakyat tengah susah dan perlukan perhatian dan bantuan daripada kerajaan…adakan PRU15 ketika ini yang kosnya pasti menelan berbilion ringgit,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2022 peringkat Negeri Sembilan.
Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, dipetik sebagai berkata, tiga negeri diterajui parti itu iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak akan membubarkan DUN lebih awal daripada Mac tahun depan.
Dalam pada itu, Aminuddin, yang juga naib presiden PKR, turut senada dengan pandangan itu selain berpendapat tindakan sama perlu difikirkan setiap negeri ketika ini.
Pada 29 Ogos, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata PRU15 akan diadakan tahun ini memandangkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sudah memberi komitmen tidak akan melaksanakannya tahun depan.
Mohamad berkata, cuma perdana menteri tidak boleh memaklumkan bila tarikh pilihan raya akan diadakan.
“Pilihan raya umum sudah tidak lama, perdana menteri sudah bagi komitmennya, tapi dia tak boleh bagi tarikh…takkan dia hendak bagi tarikh sehingga dia terpaksa kata takkan saya hendak bawa tahun depan.
“Jadi, jelas sangatlah, jelas pilihan raya tahun ini. Kalau pilihan raya umum tahun ini takkan hendak buat bulan 12, nanti orang berenang pula pergi mengundi. Bulan 12 di Pahang bukan calang-calang banjir,” lapor Utusan Malaysia.