Kaji semula pemakaian pelitup muka di tempat tertutup, MMA beritahu kerajaan

Kaji semula pemakaian pelitup muka di tempat tertutup, MMA beritahu kerajaan

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata situasi Covid-19 di negara ini terkawal dan orang ramai sudah sedia maklum dengan langkah berjaga-jaga yang perlu diambil.

Penggunaan pelitup muka di tempat tertutup pada ketika ini adalah wajib.
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan mengkaji semula polisi yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup.

Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai berkata, situasi semasa Covid-19 di negara ini masih terkawal dan orang ramai sudah sedia maklum dengan langkah berjaga-jaga yang perlu diambil.

“Sudah tiba masanya kita serius mempertimbangkan untuk tidak memakai pelitup muka di tempat tertutup, hanya mengenakan syarat melibatkan pengangkutan awam tertentu yang melibatkan orang ramai berkumpul untuk tempoh lama, rumah penjagaan, rumah orang tua dan kemudahan penjagaan kesihatan,” kata Koh.

Beliau juga berkata, negara telah mencapai “tahap mendatar” kerana jumlah kes baharu Covid-19 dan jumlah kemasukan ke hospital akibat virus itu tidak tinggi.

Semalam, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin berkata, keputusan sama ada untuk memansuhkan penggunaan topeng muka di tempat tertutup akan diteliti dan diputuskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali memaklumkan KKM akan melihat perkara terbabit dengan lebih terperinci.

“Tindakan ini bukan kerana Singapura buat, maka Malaysia kena buat,” katanya.

Singapura memansuhkan syarat pemakaian pelitup muka kecuali dalam pengangkutan awam dan kemudahan kesihatan.

Muhyiddin percaya memakai pelitup muka adalah langkah terbaik untuk memastikan seseorang itu tidak dijangkiti Covid-19, sambil menambah, “Ia sudah menjadi tabiat rakyat di negara ini selepas dua tahun menangani wabak itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.