
Beliau mula memberi keterangan saksi pada 13 April.
Zahid telah disoal peguamnya selain disoal balas secara intensif oleh pendakwaan, dan hari ini peguamnya Ahmad Zaidi Zainal memohon Hakim Collin Lawrence Sequerah untuk melepaskannya sebagai saksi.
Seorang lagi peguam dalam pasukan Zahid, Hamidi Mohd Noh, memberitahu mahkamah, bilangan saksi pembelaan telah dikurangkan daripada 43 kepada 40, tidak termasuk Zahid.
Pada mulanya pihak pembelaan mencadangkan hanya 20 saksi tetapi kemudian berkata, ia akan memanggil kira-kira 43 orang saksi.
Ketua pendakwaan Raja Rozela Raja Toran berkata jumlah saksi itu masih ramai.
Hakim bertanya: “Adakah perlu memanggil mereka semua?”
Hamidi berkata, mereka semua adalah saksi yang boleh selesai memberi keterangan dalam masa singkat.
Sequerah kemudian bertanya sama ada keterangan saksi akan diserahkan kepada pihak pendakwaan seperti diperuntukkan undang-undang.
“Kami akan menyerahkan kenyataan kepada pihak pendakwaan 14 hari sebelum mereka memberi keterangan,” kata Hamidi.
Raja Rozela kemudiannya meminta mahkamah menetapkan lebih banyak tarikh perbicaraan memandangkan bilangan saksi itu.
Peguam utama Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata, tarikh tambahan tidak diperlukan pada ketika ini kerana saksi terbabit tidak akan mengambil masa terlalu lama untuk memberikan keterangan.
“Kita sepatutnya dapat melengkapkan saksi pembelaan menjelang November. Tidak perlu tarikh tambahan,” katanya.
Mahkamah telah menetapkan 20 hari tarikh perbicaraan dari 19 Sept hingga 10 Nov.
Presiden Umno itu dibicarakan atas tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) melibatkan berjuta-juta ringgit daripada Yayasan Akalbudi, dan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri. Dua puluh tujuh melibatkan pengubahan wang haram, 12 tuduhan CBT, dan lapan pula membabitkan rasuah.