Tangkis politik dalaman, laksana lebih banyak pembaharuan, DAP gesa PM

Tangkis politik dalaman, laksana lebih banyak pembaharuan, DAP gesa PM

Loke Siew Fook berkata, Ismail Sabri Yaakob harus menggunakan peluang dan masa yang masih beliau ada sebagai PM untuk melaksanakan pembaharuan institusi selanjutnya.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya tidak tunduk kepada tekanan dalaman Umno menggesa PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
PETALING JAYA:
DAP menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya “menangkis segala tekanan politik dalaman” Umno dan melaksanakan lebih banyak pembaharuan sementara beliau masih memegang jawatan tertinggi itu demi kepentingan negara.

Dalam kenyataannya sempena Hari Kebangsaan, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata, memorandum persefahaman (MoU) Pakatan Harapan (PH) dengan Putrajaya menyaksikan pelbagai pembaharuan undang-undang direalisasikan, termasuk undang-undang anti-lompat yang melibatkan pindaan perlembagaan.

Menyatakan bahawa situasi pada masa ini tidak pernah dialami mana-mana pentadbiran terdahulu, beliau berkata, Ismail harus menggunakan peluang sedia ada untuk melaksanakan pembaharuan institusi selanjutnya dalam jangka masa yang beliau ada sebagai perdana menteri sebelum pilihan raya ke-15 (PRU15).

Bekas menteri persekutuan itu berkata, Ismail harus bertindak dan membuat keputusan sebagai perdana menteri Malaysia, bukan sebagai pemimpin Umno.

“Sebagai Perdana Menteri, sebarang keputusan beliau perlu mengambil kira kepentingan negara dan rakyat untuk jangka masa panjang dan bukan kepentingan politik semata-mata,” katanya.

“Sekiranya Ismail berani melawan arus dan menangkis segala tekanan politik dalaman, beliau akan mampu melaksanakan pembaharuan yang mempunyai implikasi positif jangka panjang kepada negara dan masyarakat kita.”

Loke, yang juga Ahli Parlimen Seremban, mengulangi gesaan untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada 10 tahun, mengasingkan peranan pendakwa raya dan peguam negara, serta membentangkan akta pembiayaan politik, akta pembangunan kawasan pilihan raya, dan akta Parlimen penggal tetap.

“Atas semangat Hari Kebangsaan, marilah kita sama-sama berdiri teguh di bawah panji Jalur Gemilang dan melupakan sementara bendera parti masing-masing demi mencapai agenda yang lebih besar untuk kepentingan negara,” katanya.

Ismail, yang juga naib presiden Umno, berdepan tekanan daripada partinya untuk memanggil pilihan raya tahun ini.

Pada mesyuarat tergempar semua ketua bahagian Umno minggu lepas, majoriti daripada mereka menggesa PRU15 diadakan segera, dengan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi ditugaskan untuk menyampaikan mesej ini kepada Ismail.

Sementara itu, pada satu taklimat khas Umno bagi perwakilan parti Sabtu lepas, yang tidak dihadiri perdana menteri itu, dewan gamat seketika dengan sorakan “boo” oleh perwakilan apabila Zahid menyebut nama Ismail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.