Saya tak bebas guna dana Yayasan Akalbudi, kata Zahid

Saya tak bebas guna dana Yayasan Akalbudi, kata Zahid

Ahmad Zahid Hamidi, yang juga pengasas badan kebajikan itu berkata, beliau sentiasa mematuhi perlembagaan yayasan ketika menguruskan dananya.

Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi sedang dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang dan CBT membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang juga pengasas Yayasan Akalbudi berkata, beliau sentiasa mematuhi perlembagaan badan kebajikan itu ketika mengendalikan dananya.

“Saya patuhi Memorandum dan Artikel Pertubuhan (M&A) Yayasan Akalbudi apabila mengendalikan dananya,” katanya semasa pemeriksaan semula oleh peguam Hamidi Mohd Noh.

Zahid, bekas timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri, berkata walaupun beliau mencetuskan penubuhan yayasan itu pada 1997, tiada perkara dilakukan demi kepentingan peribadinya.

“Jadi, tidak boleh kata saya ada kebebasan untuk guna dana itu,” katanya ketika menjelaskan pembelaannya bagi tuduhan pecah amanah (CBT).

Zahid sedang dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang dan CBT membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi, serta menerima rasuah berhubung pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Dua belas daripada tuduhan itu membabitkan CBT dan lapan lagi berkaitan rasuah.

Bagi tuduhan CBT, beliau didakwa menggunakan RM31 juta untuk membayar kad kredit, insurans dan cukai jalan bagi kenderaannya, serta membuat bayaran kepada Persatuan Bolasepak PDRM serta dua syarikat, Armada Holdings Sdn Bhd dan TS Consultancy & Resources.

Zahid mempertahankan dirinya dengan berkata, setiausaha eksekutifnya ketika itu, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly mengeluarkan beberapa cek yang ditandatanganinya awal atau yang mempunyai cap tandatangannya tanpa pengetahuannya.

Katanya, beliau membayar RM1.3 juta kepada pemain bola sepak dan pegawai yang dianggap “miskin” selepas gaji dan elaun mereka tidak dibayar tepat pada masanya.

Katanya, RM10 juta dibayar kepada Armada sebagai pelaburan, yang dibenarkan bawah perlembagaan yayasan itu.

Pasukan pembelaannya berkata, Armada menerima pulangan kira-kira RM70,000 daripada pelaburan RM10 juta itu.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.