Sabitan cabul, liwat remaja: Guru gagal rayuan ketepi hukuman

Sabitan cabul, liwat remaja: Guru gagal rayuan ketepi hukuman

Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati keputusan sabitan dan hukuman terhadap perayu yang diputuskan Mahkamah Sesyen adalah selamat.

Hakim Su Tiang Joo dalam penghakimannya, berkata dalam kes kesalahan seksual bukan satu kemestian bagi mengemukakan tarikh spesifik, jikalau keterangan mangsa adalah amat menyakinkan. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Ipoh menolak rayuan guru sekolah rendah bagi mengenepikan sabitan dan hukuman penjara 14 tahun terhadap kesalahan mencabul dan meliwat seorang remaja lelaki.

Mahkamah itu mendapati keputusan terhadap perayu, Mohamad Shafie Abdul Rani, 54, yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan, pada 27 Jul 2021, juga adalah selamat.

Hakim Su Tiang Joo menyatakan bahawa penilaian keterangan dan dapatan fakta serta undang-undang yang disandarkan Mahkamah Sesyen bagi kesemua sabitan adalah juga wajar tidak diganggu.

“Tiada ‘appealable error’ dalam hukuman-hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen bagi keempat-empat pertuduhan,” jelas Su.

Peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili perayu berhujah bahawa empat pertuduhan tersebut adalah cacat kerana ketiadaan laporan perubatan dan tarikh khusus kejadian.

Amir Khusyairi turut mempersoalkan keterangan saksi yang tidak disokong keterangan lain serta pertuduhan tidak menyatakan secara khusus cara kesalahan jenayah itu dilakukan.

Namun, hujah-hujah tersebut ditolak Mahkamah Tinggi.

“Tarikh spesifik sesuatu kesalahan seksual adalah bukan satu kemestian, malah ia adalah tidak ‘vital’ bagi kes-kes seksual, jikalau keterangan mangsa adalah amat menyakinkan, tidak perlu keterangannya disokong,” kata Su.

Perayu disabitkan dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 377B dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan perlakuan amang seksual dan mencabul kehormatan anak muridnya.

Menurut pertuduhan mengikut Seksyen 354, perayu yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Hilir Perak telah menggunakan kekerasan jenayah dan mencabul mangsa yang hanya berumur 11 tahun di bilik Panitia Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam pada 2012 dan 2013.

Pertuduhan juga menyatakan, perayu melakukan kesalahan sama terhadap mangsa di Pusat Latihan Guru (Zon Tengah) Dalam Perkhidmatan Sungai Buluh, Hutan Melintang di Hilir Perak, sembilan tahun lalu.

Menurut pertuduhan mengikut Seksyen 337B, perayu telah meliwat mangsa yang sama di mana pada ketika itu berumur 17 tahun di sebuah rumah di Langkap, Hilir Perak.

Shafie diperintah menjalani hukuman penjara secara berasingan dari tarikh ditangkap pada 8 Feb 2021 dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas itu.

“Perayu perlu bersyukur beliau tidak dikenakan sebatan kerana jikalau beliau dituduh di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 Akta 792, dia boleh dikenakan sebatan walaupun usianya melampaui 50 tahun memandangkan beliau ada hubungan amanah dengan mangsa,” jelas Su dalam penghakimannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.