
Pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin, 39, berkata rakaman itu diberikan kepada aktivis kanak-kanak dan penasihat Rumah Bonda, Syed Azmi Alhabshi, sebagai bukti bahawa terdapat penderaan terhadap Bella.
Saksi pendakwaan pertama itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Nurul Hafidzah Hassan, yang mewakili Siti Bainun, pada perbicaraan kesnya yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun tersebut.
Dia memberitahu mahkamah menafikan merancang untuk membuat rakaman video sebaliknya hanya singgah secara tiba-tiba di rumah tersebut dan mula membuat rakaman.
Bagaimanapun, Zurianty menafikan dia merakam video itu dalam keadaan emosi sedih untuk meyakinkan Syed Azmi, namun bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Syed Azmi adalah individu pertama menerima video berkenaan.
Selain Syed Azmi, katanya, rakaman video itu dihantar kepada beberapa individu lain kerana ketika itu dia trauma selepas menemui Bella di unit kondominium berkenaan.
“Saya kemudian menghubungi kawan-kawan lain untuk mendapatkan sokongan emosi selain memberitahu apa yang patut dilakukan kerana ketika itu saya dalam keadaan ‘blank’ (kosong) tapi saya perlu bertindak untuk membantu siasatan”, katanya.
Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi antara Februari dan Jun 2021 di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 14 Sept ini.