Proses mohon pekerja asing tak cekap, Guan Eng kecam Saravanan

Proses mohon pekerja asing tak cekap, Guan Eng kecam Saravanan

Pengerusi DAP itu menggambarkan menteri sumber manusia itu 'jahil' menguruskan proses sehingga menyebabkan kerugian puluhan bilion kepada industri negara.

Ramai majikan tidak berpua hati selepas tidak dapat berurusan dengan Kementerian Sumber Manusia, semalam, bagi pengambilan pekerja asing susulan limpahan majikan yang hadir bagi tujuan itu.
PETALING JAYA:
Lim Guan Eng menyelar Menteri Sumber Manusia S Saravanan susulan “kejahilan” dan “ketidakcekapan” dalam pemprosesan kuota pengambilan pekerja asing, semalam.

Pengerusi DAP itu mendakwa seramai 1,000 majikan dilaporkan ditolak permohonan mereka oleh pihak kementerian, sekali gus mengakibatkan kerugian puluhan bilion ringgit.

“Kementerian boleh melakukan kerja yang lebih baik dalam era digital dan zaman komputer ini daripada menghadapi masalah majikan yang sudah sibuk menguruskan perniagaan mereka, beratur tanpa hasil selama berjam-jam menunggu, namun tidak berjaya untuk dilayan,” katanya dalam kenyataan.

Lim juga merujuk kenyataan Saravanan dibuat pada dua minggu lalu, yang menyatakan bahawa permohonan awal untuk mengambil kira-kira 400,000 pekerja asing akan diteruskan sebelum akhir bulan ini.

Beliau berkata, kegagalan di kementerian berkenaan semalam untuk menyelesaikan kekurangan pekerja yang teruk menyebabkan kerugian RM33.5 bilion kepada sektor perladangan, industri sarung tangan dan alat ganti kenderaan sahaja, tidak termasuk industri lain.

Katanya, sektor elektrik dan elektrik (E&E) memerlukan segera sekurang-kurangnya 30,000 pekerja, di mana kekurangan buruh boleh menjejaskan eksportnya yang menjana 56% lebihan dagangan negara, pada 2021 dan merupakan 6.3% daripada keseluruhan eksport E&E seluruh dunia, pada tempoh sama.

“Bagaimana Malaysia boleh menjana pertumbuhan ekonomi dan jika urusan dokumentasi dan pemprosesan pengambilan buruh asing yang begitu mudah tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Lim berkata, kerajaan perlu mempercepatkan kelulusan pekerja asing melalui mekanisme telus, jelas dan berkesan, selain membantu dan tidak melakukan tindakan merugikan perniagaan dengan memotong kerenah birokrasi.

Katanya, menurut Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), 1,500 restoran India-Muslim, yang lebih dikenali sebagai restoran “mamak”, dijangka ditutup di seluruh negara berikutan kekurangan pekerja asing dan kesukaran mendapatkan pekerja tempatan.

“Banyak industri mengalami kesusahan yang sama seperti restoran mamak. Apa yang berlaku semalam adalah petunjuk yang jelas tentang kelemahan prestasi dan janji-janji palsu yang berulang oleh S Saravanan,” katanya.

Semalam, FMT melaporkan kebanyakan majikan meluahkan rasa kesal selepas tidak ditemu duga kementerian itu bagi pengambilan kuota pekerja asing.

Walaupun beratur panjang selama berjam-jam dengan ada sudah menunggu sejak 6 pagi. Ramai majikan terpaksa ditangguhkan tarikh temu duga susulan limpahan majikan yang ingin mendapatkan kuota pekerja asing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.