
Chin berkata penubuhan kementerian sedemikian, yang dicadangkan minggu lalu oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung, sudah lama tertangguh memandangkan peranan perusahaan kecil dalam ekonomi dan kesukaran sektor tersebut untuk pulih sejak pandemik Covid-19.
“Kementerian ini akan mewujudkan struktur arahan berpusat yang jelas, yang mampu bertindak balas dengan pantas terhadap isu-isu seperti pendigitalan, pembiayaan, beban peraturan, dan persaingan global,” kata Chin kepada FMT.
Ahli ekonomi, Barjoyai Bardai, mencadangkan menteri dilantik dalam kalangan usahawan yang berjaya melalui pelantikan sebagai senator. “Saya pasti mereka mempunyai banyak strategi dan ramuan untuk menjadikan PMKS berjaya,” katanya.
PMKS kini ditangani oleh kementerian-kementerian pembangunan usahawan dan koperasi; pelaburan, perdagangan dan industri; pembangunan luar bandar dan wilayah; serta perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup.
Chin berkata rejim dasar yang berpecah-pecah menimbulkan cabaran bagi PMKS yang terpaksa beroperasi bawah agensi-agensi yang berbeza-beza, inisiatif yang bertindih, dan program yang berselerak. Walaupun SME Corporation Malaysia berfungsi sebagai agensi penyelarasan, program-program masih tersebar di pelbagai kementerian.
“Ini sering menyebabkan PMKS menghabiskan masa memikirkan agensi mana yang perlu didekati, bukannya memberi tumpuan kepada pertumbuhan perniagaan dan inovasi,” katanya.
Barjoyai berkata tabiat Malaysia yang mengabaikan PMKS dan memihak kepada perniagaan besar juga melebarkan jurang pendapatan dan kekayaan negara.
“Golongan satu peratus memiliki lebih 40% kekayaan negara, manakala lebih sejuta PMKS memiliki kekayaan yang sangat sedikit, kurang daripada 10%,” katanya.
Barjoyai berkata memandangkan sektor perkhidmatan yang didominasi PMKS dijangka menyumbang 65% daripada KDNK, sudah tiba masanya untuk memberi kepentingan yang lebih besar kepada perniagaan sedemikian, bermula dengan kementerian khusus.
PMKS kini merangkumi lebih 97% perniagaan, menyumbang RM652.4 bilion, atau 39%-40% daripada KDNK, tahun lalu. Mereka juga menggaji 50% daripada tenaga kerja.
Birokrasi
Bagaimanapun, William Ng dari Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) berkata PMKS layak mendapat hala tuju dasar yang lebih kukuh, namun kementerian tunggal bukanlah penyelesaian muktamad kepada masalah sektor tersebut.
Ng berkata kementerian itu mungkin menambah lebih banyak birokrasi ke atas ekosistem PMKS sedia ada yang berpecah-pecah, lalu gagal menyelesaikan isu asas.
Beliau berkata PMKS memerlukan kurang kerenah birokrasi dan tidak boleh dibebani oleh dasar yang tidak perlu, yang menurut beliau bertindih di pelbagai kementerian.
“Apa yang kita perlukan adalah menteri yang berkesan dan perkhidmatan awam yang berkesan, tanpa mengira kementerian mana yang memikul mandat tersebut. Jika anda letak pemimpin yang lemah untuk mengetuai kementerian PMKS baharu, anda masih tidak akan mencapai apa-apa.”