Mesyuarat MKT Umno dalam suasana mesra, tak ada isu, kata Ismail

Mesyuarat MKT Umno dalam suasana mesra, tak ada isu, kata Ismail

Naib presiden Umno menafikan dakwaan wujudnya perpecahan dan termasuk berdepan pemecatan jawatan dalam partinya.

PUTRAJAYA:
Naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob berkata Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dibuat pada Sabtu lalu berlangsung dalam suasana yang mesra.

Beliau menafikan dakwaan wujudnya perpecahan dan termasuk berdepan pemecatan jawatan dalam partinya.

“Tak ada apa. Kita bincang dalam mesyuarat MKT dalam keadaan, suasana mesra. Tidak ada isu.

“Kadang-kadang orang luar lihat lain daripada apa yang berlaku di dalam. Tak ada apa-apa isu dalam Umno,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pada 27 Ogos lalu, Ismail hadir pada mesyuarat MKT Umno di Menara Dato Onn.

Sebelum mesyuarat berkenaan, berucap di hadapan 2,000 ahli parti itu pada majlis taklimat khas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, mesyuarat MKT akan membincangkan desakan supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Sementara itu, Ismail berkata perbezaan pandangan di dalam parti adalah perkara biasa. “Itu diraikan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata setakat ini Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz akan membentangkan Belanjawan 2023.

Katanya, beliau akan mempertimbangkan untuk membentangkan belanjawan itu sekiranya boleh.

“Setakat ini Menteri Kewangan macam biasa (bentang Belanjawan 2023).

“Kena tengok dari segi perlembagaan dan perundangan. Kalau tak boleh, tak boleh, kalau boleh, boleh dipertimbangkan.

“Jadi apa pun tunggu nasihat daripada peguam negara, sama ada boleh atau tidak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.