Laporan akhir kedaulatan Batu Puteh dibentang bulan depan, kata Wan Junaidi

Laporan akhir kedaulatan Batu Puteh dibentang bulan depan, kata Wan Junaidi

Menteri undang-undang itu berkata, beliau sudah menerima laporan akhir setebal hampir 500 muka surat itu daripada bekas peguam negara yang juga pengerusi pasukan berkenaan, Apandi Ali.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata laporan itu bersifat bebas berasaskan pandangan dan pendapat pakar hasil analisis, penelitian serta pemerhatian pasukan petugas khas.
PETALING JAYA:
Laporan akhir Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan dibentangkan kepada Kabinet, pada September.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini, menerima laporan akhir setebal hampir 500 muka surat itu daripada bekas peguam negara yang juga pengerusi pasukan berkenaan, Apandi Ali.

Wan Junaidi berkata, laporan akhir itu bersifat bebas berasaskan pandangan dan pendapat pakar hasil analisis, penelitian serta pemerhatian pasukan petugas khas sepanjang hampir sembilan bulan tempoh pelaksanaan, bermula 9 Nov 2021 hingga 30 Ogos 2022.

“Syor opsyen terbaik kerajaan mengenai hala tuju berhubung kes berkenaan yang dijelaskan melalui laporan khas ini adalah susulan keputusan kerajaan pada 2018 untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan dan Permintaan Tafsiran di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, terhadap keputusan penghakiman ICJ pada 2008.

“Pelaksanaan pasukan petugas khas ini adalah komitmen kerajaan untuk memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin dan menjadi keutamaan.

“Lanjutan daripada ini, syor pasukan petugas khas akan diteliti secara mendalam dan terperinci daripada semua aspek supaya sebarang tindakan susulan kerajaan berkaitan isu ini memberikan impak positif kepada negara,” katanya apor Sinar Harian.

Untuk rekod, pada 9 Okt lalu, Kabinet memutuskan untuk menubuhkan pasukan terbabit bertujuan menyemak semula undang-undang berkenaan isu Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.