Kes baharu Covid-19 turun 17.9% minggu lepas

Kes baharu Covid-19 turun 17.9% minggu lepas

Menurut KKM, bagi tempoh sama, 60 kes kematian direkodkan, meningkat sebanyak 7.1% berbanding minggu sebelumnya.

Purata kes aktif setiap hari bagi ME 34/2022 adalah 36,179 iaitu terdapat penurunan sebanyak 13.9% berbanding minggu sebelumnya, menurut KKM.
KUALA LUMPUR:
Bilangan kes baharu Covid-19 turun sebanyak 17.9% kepada 18,715 kes pada Minggu Epidemiologi ke-34 (ME 34/2022) dari 21 hingga 27 Ogos.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagi tempoh sama, 60 kes kematian direkodkan, meningkat sebanyak 7.1% berbanding minggu sebelumnya.

“Bilangan kes sembuh pada ME 34/2022 menurun sebanyak 5.4% iaitu 26,458 kes kepada 25,037 kes.

“Purata kes aktif setiap hari bagi ME 34/2022 adalah 36,179 iaitu terdapat penurunan sebanyak 13.9% berbanding minggu sebelumnya,” menurutnya dalam kenyataan berkaitan situasi semasa jangkitan Covid-19.

Sementara itu, kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk untuk pesakit kategori 1 dan 2 berkurangan sebanyak 15.8% manakala pesakit kategori 3, 4, dan 5 turun 15.2%.

Dr Noor Hisham berkata pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) pada ME34/2022 menurun 2%, katil bukan kritikal berkurangan 3% dan katil PKRC turun 1%.

Selain itu, peratusan pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menurun 0.3% berbanding minggu sebelumnya.

Menurut kenyataan itu, kes positif yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara menunjukkan penurunan meliputi bilangan kedatangan pesakit ke CAC berkurangan 13%, kes baharu Covid-19 yang menjalani pemantauan di rumah menurun 19.5% manakala kes dirujuk CAC ke hospital turun 26%.

Beliau berkata purata nilai RT juga menunjukkan penurunan 5.3% pada ME 34/2022.

Hasil survelan Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati 140 sampel penyakit seperti influenza (ILI) dikesan positif Covid-19 dengan kadar 15.5%, manakala tiada sampel Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dikesan positif Covid-19 dan kekal 0% pada ME34/2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.