Bicara rasuah: Nasib Rosmah diketahui Khamis ini

Bicara rasuah: Nasib Rosmah diketahui Khamis ini

Peguam A Srimurugan berkata, isteri bekas perdana menteri itu akan dibebaskan jika pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak berdepan tuduhan rasuah membabitkan RM1.25 bilion dalam projek solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak.
KUALA LUMPUR:
Selepas perbicaraan selama 42 hari sejak 2020 hingga tahun ini, Rosmah Mansor akan mengetahui nasibnya pada 1 Sept ini, sama ada beliau akan dibebaskan daripada tiga tuduhan rasuah dikaitkan dengan projek solar sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Hakim perbicaraan, Zaini Mazlan dijangka membaca alasan bertulis penuh selepas mendengar 23 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan, termasuk Rosmah.

Peguam A Srimurugan berkata, isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu akan dibebaskan jika pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

“Tetapi, beliau akan disabitkan dengan tuduhan, jika hakim memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah,” katanya kepada FMT.

Rosmah, 70, didakwa meminta RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar berkenaan.

Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi, melalui Rizal di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Dis 2016.

Beliau dikatakan menerima RM1.5 juta lagi daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 Sept 2017.

Kes Rosmah bermula pada 5 Feb 2020 dan Zaini memerintahnya membela diri pada 18 Feb 2021. Pihak pembelaan menutup kes pada 23 Feb lalu.

Pihak pendakwaan berkata, Rosmah gagal menyangkal anggapan di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa beliau telah meminta dan menerima rasuah serta keterangannya kekal penafian semata-mata.

Tetapi, pihak pembelaan berhujah Rizal yang menggunakan nama Rosmah untuk meminta dan mengambil rasuah itu.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya ad hoc, Gopal Sri Ram, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mustafa P Kunyalam dan Poh Yin Tinn, manakala peguam Jagjit Singh, Akberdin Abdul Kader serta mewakili Rosmah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.