
Pengerusinya, Lim Guan Eng menegaskan perkara itu menjelang mesyuarat Pakatan Harapan (PH) minggu depan.
“Pendirian saya sejak lebih setahun lalu, tegas memang tak boleh kerjasama dengan pengkhianat. Selama-lamanya tak boleh. Pengkhianat itu harus disemadikan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, meskipun kerjasama dengan mana-mana parti termasuk Bersatu belum dimuktamadkan secara rasmi oleh gabungan itu, namun reaksi pemimpin PH secara dasar bertegas tidak mahu bekerjasama dengan parti Muhyiddin Yassin.
“(Kerjasama dengan Bersatu dan PN) Itu mustahil, pendirian DAP tidak akan bekerjasama dengan pengkhianat. Walaupun PH belum buat keputusan muktamad tetapi reaksi pemimpin PH dan pemimpin DAP kita tegas tak mahu kerjasama dengan PN,” katanya.
“Bersatu ini seorang pengkhianat, petualang, pembelot, bolehkah kita kerjasama dengan petualang, pembelot? Tak bolehlah. Sudah banyak kali.”
Ahli Parlimen Bagan itu mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin selaku Pengerusi PN yang mahu parti pembangkang menimbang semula pintu rundingan dengan gabungan itu untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Lim turut melabel Muhyiddin sebagai terdesak kerana sanggup meminta bantuan daripada pihak yang dikhianatinya demi kuasa dan kedudukan.
“Bersatu ini pengkhianat lagi teruk dari musuh. Muhyiddin dah terdesak, dia minta bantuan daripada pihak yang dia khianati, takkan kita bodoh nak sama macam dia,” tegas bekas menteri kewangan itu sambil menggelar Bersatu “ular dalam selimut”.
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menolak sebarang kerjasama dengan PN dengan menegaskan keputusan PH sebagai muktamad. Presiden Amanah Mohamad Sabu turut menegaskan perkara sama enggan menerima idea khemah besar Muhyiddin.
Untuk rekod, Bersatu yang mengetuai PN adalah sebahagian daripada kerajaan PH yang tumbang susulan “Langkah Sheraton”digerakkan pemimpin utama parti terbabit.
Susulan itu, Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri kelapan selepas mendapat sokongan majoriti wakil rakyat termasuk daripada Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Bagaimanapun, pada Ogos 2021, Umno menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin menyebabkannya diganti oleh Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.
PKR, DAP dan Amanah kekal dalam PH, bergerak sebagai pembangkang.
Mengulas lanjut, Lim berkata, selain isu Bersatu, mesyuarat minggu depan dijangka memuktamadkan kerjasama PH dengan parti lain termasuk Warisan dan MUDA sebagai persediaan melangkah ke PRU.